
Hab kewangan Shanghai, yang dihuni 26 juta penduduk, ketika ini menjalani perintah berkurung untuk hari ketiga, seperti diarahkan pihak berkuasa dengan mengasingkan bandar di sepanjang Sungai Huangpu, dengan daerah Pudong bagi memberi laluan kepada saringan secara berperingkat.
Meskipun penduduk di bahagian timur sudah dikenakan perintah berkurung sejak Isnin, penduduk di bahagian barat sebelum ini dijadualkan untuk memulakan perintah berkurung selama empat hari pada Jumaat.
Perintah berkurung berskala penuh di metropolis utama seperti Shanghai akan mengakibatkan pengurangan 4% dalam keluaran dalam negara kasar negara, pakar ekonomi di Universiti China Hong Kong, Universiti Tsinghua dan institut lain menjangkakan pada pertengahan Mac lalu.
Pada Rabu, Shanghai merekodkan 5,656 kes Covid tanpa gejala dan 326 kes bergejala bagi 29 Mac, meningkat daripada 4,381 kes tanpa gejala baharu dan 96 kes baharu dengan gejala sehari sebelumnya.
Beberapa penduduk yang tinggal di daerah barat pada Selasa menerima notis daripada jawatankuasa perumahan mereka bahawa mereka akan dihalang daripada meninggalkan kediaman mereka untuk tempoh tujuh hari akan datang.
“Kami menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada semua penduduk! Kita akan kembali ke kehidupan biasa tidak lama lagi, tetapi dalam tempoh berikutnya, kami minta semua untuk mematuhi arahan kawalan pandemik, jangan berkumpul dan kurangkan pergerakan,” menurut notis dilihat Reuters.
Bagaimanapun, daerah di barat daya Minhang, yang diduduki lebih 2.5 juta penduduk, mengumumkan bahawa ia akan menghentikan perkhidmatan bas sehingga 5 April depan.
Pihak berkuasa Shanghai memberitahu sidang akhbar pada hari Rabu bahawa sejak perintah berkurung bermula pada hari Isnin mereka telah menjalankan 9.1 juta ujian asid nukleik.
Mereka juga mula membasmi kuman tempat seperti bangunan pejabat, tapak pembinaan, pasar basah dan sekolah dalam kempen selama sebulan.
Perintah berkurung itu turut merencatkan pengeluaran di bandar terbabit, memandangkan dua syarikat pengeluar terbesar, Aptiv dan Thyssenkrupp kini berdepan nasib sama dengan Tesla untuk menghentikan operasi kilang berikutan arahan kawalan wabak.
Di seluruh tanah besar China, jumlah harian jangkitan tempatan baharu dalam dua minggu lalu jauh lebih tinggi daripada yang dilihat dalam dua bulan pertama tahun ini, menandakan gelombang kes terbesar sejak 2020 yang berpusat di Wuhan.
Kota timur Xuzhou, yang melaporkan jumlah kurang daripada 20 jangkitan tempatan pada minggu lalu, telah mengenakan perintah berkurung selama tiga hari di kebanyakan kawasan mulai Rabu.
Kerajaan Xuzhou berkata setiap isi rumah di kawasan tersebut hanya perlu menghantar seorang untuk keluar membeli barang keperluan setiap hari, manakala syarikat yang tidak penting sama ada harus menutup operasi, meminta pekerja bekerja dari rumah, atau beroperasi secara tertutup.