Sekurang-kurangnya 6 maut dalam pengeboman tengah malam di pusat beli-belah Kyiv

Sekurang-kurangnya 6 maut dalam pengeboman tengah malam di pusat beli-belah Kyiv

Bangunan 10 tingkat itu terkena letupan kuat yang turut memusnahkan beberapa kenderaan di kawasan parkir dan meninggalkan kawah selebar beberapa meter.

Orang ramai berkumpul di sekitar kawah bom yang memusnahkan bangunan dan kereta di Kyiv semalam. (Gambar AP)
KYIV:
Sekurang-kurangnya enam terbunuh dalam pengeboman tengah malam di sebuah pusat beli-belah di ibu kota Ukraine Kyiv.

Wartawan AFP berkata Isnin, peneyelamat berusaha mengumpulkan mangsa dan membersihkan serpihan akibat pengeboman itu dengan enam mayat diletakkan di hadapan pusat beli-belah Retroville di barat laut Kyiv,

Bangunan 10 tingkat itu terkena letupan kuat yang turut memusnahkan kenderaan di kawasan parkir dan meninggalkan kawah selebar beberapa meter.

Pusat beli-belah yang terbakar itu masih berasap pagi ini. Keseluruhan bahagian selatannya musnah termasuk pusat kecergasan yang terletak di tempat letak kereta.

Serpihan besi dan beberapa serpihan lain bertaburan sejauh beberapa ratus meter dari kawasan itu ketika anggota bomba dan tentera mengesan dan mencari mangsa yang terkorban.

Wartawan AFP berkata, satu letupan besar pada tengah malam menggegarkan bandar itu dan api marak boleh dilihat di pusat beli-belah berkenaan.

“Tembakan musuh” itu telah mengakibatkan kebakaran di beberapa tingkat dan menyebabkan beberapa kereta terbakar, kata perkhidmatan kecemasan di Facebook.

Mereka mengeluarkan rakaman kamera keselamatan yang menunjukkan letupan besar dan debu, diikuti dengan beberapa siri letupan yang lebih kecil.

Anggota bomba menarik sekurang-kurangnya seorang lelaki yang diselaputi habuk dari serpihan letupan, menurut beberapa video yang dikeluarkan oleh perkhidmatan kecemasan.

Tentera sudah mengepung kawasan itu dan meminta orang awal dan wartawan untuk tidak mendekatinya dan memberi amaran bahaya letupan yang mungkin berlaku daripada peluru yang tidak meletup tanpa mengulas lanjut.

Kejiranan di blok perumahan yang tingkapnya pecah akibat letupan berkata, mereka melihat pelancar roket mudah alih berhampiran pusat beli-belah itu beberapa hari sebelum kejadian.

Kyiv dihujani beberapa serangan sejak minggu lalu yang turut mencederakan lima orang di sebuah blok apartment awal pagi semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.