
Kawasan autonomi yang sedang dalam peperangan itu memperlihatkan peningkatan mendadak dalam pembunuhan wanita serta pembunuhan bermotifkan jantina.
“Dalam dua bulan lalu, terdapat peningkatan dalam pembunuhan wanita berbanding tahun sebelumnya,” kata Ketua Pengarah Pembanterasan Keganasan Terhadap Wanita berpengkalan di Sulaimaniyah, Hiwa Karim Jwamir.
Dalam dua bulan pertama tahun ini, katanya, seramai 11 wanita terbunuh di Kurdistan dan kebanyakan mereka ditembak.
Tambah Jwamir, 45 wanita terbunuh pada 2021, meningkat daripada 25 orang pada tahun sebelumnya.
Jumaat lalu, seorang remaja berusia 15 tahun maut akibat enam das tembakan oleh bapanya di kampung Soran.
Lelaki itu memberitahu polis anak perempuannya itu ‘keluar bersama dua budak lelaki pada lewat malam’. Unit keganasan rumah tangga menggelar perkara itu sebagai ‘pembunuhan maruah’.
Disember lalu, seorang gadis berusia 16 tahun dicacatkan dengan asid di Baghdad oleh seorang dewasa yang ditolak pinangannya.
Dibakar dan disimbah petrol
Beberapa hari sebelum Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac, mayat seorang wanita berusia 20 tahun ditemui di tepi jalan di Arbil, ibu kota Kurdistan.
Mangsa, Maria Sami dikenali di media sosial kerana ucapan feminisnya.
Keesokan harinya, polis Kirkuk menahan pembunuh iaitu abangnya sendiri yang berusia 18 tahun.
Suspek yang bercakap melalui panggilan telefon kepada saluran televisyen Kurdish itu cuba mewajarkan pembunuhan itu dengan menuduh kakaknya gagal mematuhi keluarga.
Pada Februari, ibu kepada dua anak , Shinyar Huner Rafiq meninggal dunia di hospital, lima hari selepas dimasukkan ke dalam keadaan melecur serius.
Suaminya yang mabuk menyimbah badannya dengan petrol.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, di seluruh Iraq, keganasan berasaskan jantina meningkat sebanyak 125% iaitu lebih 22,000 kes antara 2020 dan 2021 malah berlaku peningkatan membimbangkan dalam kemurungan dan bunuh diri di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan.
Sejak bertahun lamanya, aktivis mengecam keganasan terhadap wanita dan perkahwinan paksa di Iraq, yang dilihat sebagai masyarakat konservatif dan patriarki.
“Kes keganasan terhadap wanita semakin meningkat.
“Kebanyakan wanita yang dibunuh adalah mangsa ahli keluarga,” kata aktivis Kurdistan, Bahar Munzir yang juga pengarah kumpulan tempatan Pertubuhan Pembangunan Rakyat.
“Sesetengah kes tidak sampai ke mahkamah. Mereka tertakluk kepada ketetapan puak antara keluarga lelaki dan isterinya, mangsa.” katanya.