Thailand mansuh ujian pra-perjalanan Covid-19 mulai 1 April

Thailand mansuh ujian pra-perjalanan Covid-19 mulai 1 April

Mulai 1 April, pelancong di bawah program 'Test & Go', 'Sandbox' dan Kuarantin Alternatif tidak perlu sertakan ujian Covid-19 72 jam sebelum perjalanan.

Thailand akan mempertimbangkan membuka lebih banyak pintu masuk pada Mei, jika situasi Covid-19 bertambah baik. (Gambar AP)
BANGKOK:
Thailand melonggarkan lagi peraturan kemasukan, termasuk membatalkan ujian pra-perjalanan Covid-19 bagi pelancong antarabangsa mulai 1 April, sebagai usaha memulihkan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin berkata mulai 1 April, pelancong di bawah program “Test & Go”, “Sandbox” dan Kuarantin Alternatif (AQ) tidak perlu sertakan ujian Covid-19 72 jam sebelum perjalanan.

Bagi pelancong di bawah program “Test & Go”, beliau berkata, mereka akan menjalani ujian RT-PCR sejurus ketibaan dan ujian antigen kendiri pada hari kelima.

Sementara itu, pelancong di bawah program “Sandbox” akan tinggal di destinasi tertentu selama lima hari, sebelum dibenarkan melakukan perjalanan ke wilayah lain.

Destinasi “Sandbox” termasuk Krabi, Phang-Nga, Koh Samui, Koh Chang, Pattaya dan Chiang Mai.

Taweesin berkata, kuarantin mandatori akan dikurangkan kepada lima hari bagi pelancong di bawah skim AQ dan hanya perlu menjalani ujian RT-PCR pada hari keempat atau kelima.

“CCSA akan mempertimbangkan membuka lebih banyak pintu masuk pada Mei, jika situasi Covid-19 bertambah baik,” katanya dalam sesi taklimat harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, perlindungan insurans perjalanan untuk pelancong dikekalkan USD20,000.

CCSA turut melanjutkan tempoh darurat selama dua bulan, dari 1 April hingga 31 Mei bagi membendung penularan Covid-19.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand merekodkan 27,071 kes baharu jangkitan Covid-19 dan 80 kematian, menjadikan jumlah kumulatif mencecah 3,303,169 kes dan 24,075 kematian setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.