Lapangan terbang Ukraine dibedil di kala AS-China dijangka runding asingkan Rusia

Lapangan terbang Ukraine dibedil di kala AS-China dijangka runding asingkan Rusia

Presiden AS Joe Biden dijangka berbincang dengan Presiden China Xi Jinping hari ini dalam usaha melumpuhkan jentera perang Rusia.

Tentera Ukraine menaiki kenderaan berperisai di Donetsk pada Khamis. Sejak Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine tiga minggu lepas, tenteranya masih belum dapat menawan mana-mana bandar besar. (Gambar AP)

KYIV/LVIV: Rusia melepaskan peluru berpandu hari ini di lapangan terbang berhampiran Lviv, sebuah bandar di mana ratusan ribu pelarian berlindung dari medan perang Ukraine, ketika Moscow cuba mendapatkan semula inisiatif dalam kempennya menentang Ukraine yang terhenti.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden sepatutnya berbincang dengan Presiden China Xi Jinping hari ini, dalam usaha melumpuhkan jentera perang Rusia dengan mengasingkan Moscow daripada satu kuasa besar yang masih belum mengecam serangannya.

Lebih tiga minggu sejak Presiden Vladimir Putin melancarkan pencerobohan untuk menawan apa yang disebutnya sebagai negara buatan yang tidak layak diiktiraf, kerajaan pilihan rakyat Ukraine masih berdiri dan tentera Rusia belum dapat menawan mana-mana bandar besar.

Tentera Rusia mengalami kerugian besar apabila ia memusnahkan kawasan kediaman, mengakibatkan lebih tiga juta orang menjadi pelarian.

Moscow menafikan ia menyasarkan orang awam dalam apa yang digelarnya “operasi khas” untuk melucutkan senjata jirannya.

“Pasukan Ukraine di sekitar Kyiv dan Mykolaiv terus menggagalkan percubaan Rusia untuk mengepung bandar-bandar itu. Bandar Kharkiv, Chernihiv, Sumy dan Mariupol kekal dikepung dan tertakluk kepada serangan besar-besaran oleh Russia,” menurut Kementerian Pertahanan Britain dalam kemas kini risikan tentera hariannya.

Sekurang-kurangnya tiga letupan kedengaran berhampiran lapangan terbang Lviv pagi ini, dengan video di media sosial menunjukkan letupan besar dan kepulan asap.

Dengan sekatan kewangan dan pengasingan diplomatik yang menjauhkan Rusia daripada ekonomi maju di seluruh dunia, China adalah talian hayat terakhirnya.

Putin dan Xi menandatangani pakatan persahabatan “tiada had” tiga minggu sebelum pencerobohan itu dalam acara megah pada pagi upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan lepas di Beijing. Dokumen itu mengulangi beberapa rungutan Rusia terhadap Ukraine.

China setakat ini berhati-hati dalam tindakan terbukanya, dengan berkecuali dalam undian berhubung resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengecam Rusia dan enggan merujuk serangan itu sebagai pencerobohan, selain kritikan berulang terhadap Barat.

Bagaimanapun, Washington yang minggu ini mengumumkan bantuan ketenteraan baharu bernilai USD800 juta kepada Kyiv kini berkata, Moscow mahukan lebih daripada perlindungan diplomatik daripada Beijing, malah meminta wang dan senjata untuk meneruskan perang, namun ditolak Moscow dan Beijing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.