Russia minta bantuan ketenteraan China dalam krisis Ukraine

Russia minta bantuan ketenteraan China dalam krisis Ukraine

Beijing enggan melayani secara langsung laporan itu, sebaliknya mendakwa Washington menyebarkan maklumat tidak benar dan berniat jahat terhadap peranan China dalam perang Ukraine.

Seorang anggota polis tentera China berjaga di pintu masuk ke Kedutaan Rusia di Beijing awal bulan ini. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Russia meminta bantuan ketenteraan dan ekonomi dari China untuk perang di Ukraine, dakwa laporan media Amerika Syarikat (AS) semalam, beberapa jam selepas itu, Rumah Putih mengeluarkan amaran bahawa Beijing akan menerima akibatnya jika republik itu membantu Moscow mengelakkan sekatan antarabangsa.

Beijing enggan melayani secara langsung laporan itu, sebaliknya mendakwa Washington menyebarkan maklumat tidak benar dan berniat jahat terhadap peranan China dalam perang Ukraine.

Pegawai AS memberitahu media bahawa Russia memohon peralatan ketenteraan dan sokongan dari sekutu utamanya itu.

Moscow juga didakwa memohon bantuan ekonomi dari Beijing susulan sekatan yang melumpuhkan dikenakan terhadap negara itu oleh kebanyakan negara Barat, lapor New York Times yang sekali lagi memetik pegawai tanpa nama.

Pegawai menolak untuk memberi penjelasan sebenar berhubung apa permintaan Rusia atau sama ada China sudah pun memberi maklum balas, menurut laporan itu.

Jurucakap Kedutaan China di Washington memberitahu beberapa media, pihaknya tidak pernah mengetahui hal itu apabila diajukan soalan mengenai dakwaan berkenaan.

Jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian, hari ini memberitahu wartawan bahawa AS berniat jahat cuba “menyebarkan maklumat salah yang menyasarkan China mengenai isu Ukraine”.

Beijing menolak untuk terus mengutuk Moscow kerana melancarkan pencerobohannya dan telah berulang kali menyalahkan “perluasan ke arah timur” NATO kerana ketegangan yang semakin memburuk antara Rusia dan Ukraine.

Zhao berkata China memainkan peranan konstruktif dalam mendesak perdamaian dan menggesa untuk rundingan diadakan segera bagi menamatkan perang.

Zhao berkata demikian susulan pertemuan antara delegasi peringkat tinggi AS dan pegawai tertinggi China di Rome.

Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan dan Yang Jiechi, Ketua Diplomat Parti Komunis China, “akan membincangkan usaha berterusan untuk menguruskan persaingan antara kedua-dua negara kita dan membincangkan kesan perang Rusia terhadap Ukraine terhadap keselamatan serantau dan global,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Emily Horne dalam satu kenyataan semalam.

Sullivan ketika rancangan bual bicara pada Ahad berkata, Rumah Putih “memantau rapat ” untuk melihat sama ada China memberikan sokongan material atau ekonomi kepada Rusia untuk membantunya mengelak kesan hukuman sekatan.

“Ia adalah kebimbangan kami, dan kami telah memaklumkan kepada Beijing bahawa kami tidak akan berdiam diri dan membenarkan mana-mana negara membayar pampasan kepada Rusia atas kerugiannya daripada sekatan ekonomi,” katanya dalam rancangan “State of the Union” diterbitkan CNN.

Beijing berkata minggu lalu bahawa persahabatannya dengan Rusia kekal “utuh” walaupun dikecam antarabangsa terhadap Moscow dan telah menyatakan keterbukaan untuk membantu pengantara penamatan perang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.