Vietnam haramkan filem lakonan Tom Holland

Vietnam haramkan filem lakonan Tom Holland

Vietnam mengharamkan “Uncharted” ditayangkan di negara itu, selepas babak dengan peta memaparkan garisan sempadan yang digunakan China untuk menuntut perairan berkenaan sebagai miliknya.

China menuntut kebanyakan kawasan di Laut China Selatan. (Gambar Reuters)
HANOI:
Vietnam mengharamkan filem aksi Sony, “Uncharted” ditayangkan di negara itu, selepas babak dengan peta memaparkan garisan sempadan yang digunakan China untuk menuntut laluan perairan berkenaan sebagai miliknya.

“Sembilan garis putus-putus” digunakan pada peta China untuk mengukuhkan tuntutannya terhadap kawasan yang luas di Laut China Selatan. Ini termasuk kawasan yang dianggap Vietnam sebagai miliknya, di mana ia telah memberikan konsesi minyak.

“Uncharted”, filem berasaskan permainan video mengenai pencarian harta karun, dibintangi Tom Holland dan sepatutnya disiarkan di Vietnam mulai 18 Mac.

“Filem itu diharamkan selepas kami mendapati ia mengandungi imej terlarang sembilan garis putus-putus,” lapor Vietnam News Agency memetik Ketua Jabatan Pawagam Vi Kien Thanh.

Pada 2019, Vietnam menarik balik tayangan filem animasi “Abominable” oleh DreamWorks, selain mengarahkan Netflix membuang beberapa episod siri “Pine Gap” pada 2021 kerana isu sama.

Minggu ini saja, Vietnam memprotes latihan ketenteraan China dan Taiwan sebanyak dua kali di kawasan yang didakwanya adalah zon ekonomi eksklusif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.