
Wanita berusia 49 tahun itu disabitkan bagi kesalahan jenayah perang, pelanggaran undang-undang antarabangsa dan “gagal menghalang anaknya yang ketika itu berusia antara 12 hingga 15 tahun, daripada direkrut dan digunakan sebagai askar kanak-kanak untuk IS dalam konflik bersenjata di Syria”, menurut kenyataan mahkamah di Stockholm.
Wanita itu dan suaminya sebahagian daripada kumpulan ala kultus dalam persekitaran Islamik. Pada April 2013 dia membawa anaknya menyertai bapa dan abang kanak-kanak itu di Syria.
Mahkamah mendapati wanita itu jelas mengetahui anaknya akan dijadikan anggota pejuang.
“Dia tidak mengambil langkah wajar untuk menghalang perkara ini, malah tidak mahu menghalangnya. Peranan anaknya sebagai askar kanak-kanak memang sehaluan dengan kepercayaannya,” kata mahkamah.
Ketika wanita itu didakwa pada Januari, pendakwa berkata kes itu kali pertama di Sweden melibatkan jenayah perang menggunakan askar kanak-kanak.
Dari Ogos 2013 hingga Mei 2016, kanak-kanak itu dikatakan mengambil bahagian dalam pertempuran melibatkan kumpulan bersenjata, termasuk organisasi militan IS.
Menurut pihak berkuasa, kanak-kanak itu meninggal dunia pada 2017. Punca kematiannya tidak dinyatakan.
Kira-kira 300 rakyat atau penduduk Sweden – suku daripadanya wanita – menyertai IS di Syria dan Iraq terutama sekitar 2013 dan 2014, menurut perkhidmatan risikan Sapo.
Sweden ketika itu tiada perundangan khusus untuk pendakwaan bagi kesalahan menganggotai organisasi militan. Disebabkan itu, pendakwa menggunakan peruntukan jenayah lain untuk mendakwa mereka yang pulang dari kawasan pertempuran.