Jet pejuang Myanmar terhempas kerana ‘masalah teknikal’ di Sagaing

Jet pejuang Myanmar terhempas kerana ‘masalah teknikal’ di Sagaing

Pesawat terbabit yang berlepas dari pangkalan udara Tada-U terputus hubungan pada jam 10.43 pagi (waktu tempatan) sebelum dilaporkan terhempas.

Musim tengkujuh di Myanmar mengakibatkan penerbangan komersial dan ketenteraan berdepan masalah sebelum ini. (Gambar AP)
YANGON:
Sebuah jet pejuang Myanmar terhempas pagi ini selepas mengalami “masalah teknikal” ketika terbang di utara negara itu, kata pasukan maklumat junta dalam satu kenyataan.

Pesawat terbabit yang berlepas dari pangkalan udara Tada-U terputus hubungan pada jam 10.43 pagi (waktu tempatan) sebelum dilaporkan terhempas.

Menurut kenyataan, operasi mencari dan menyelamat juruterbang pesawat itu sedang dilakukan.

Juruterbang terbabit sedang melaksanakan misi latihan bukan pertempuran ketika kejadian berlaku.

Junta Myanmar didakwa sering melakukan serangan udara di beberapa wilayah termasuk Sagaing bagi menentang pasukan bersenjata ‘people’s defence forces’ yang memberontak melawan pemerintahan tentera.

Nahas kapal terbang adalah perkara biasa di Myanmar, yang mempunyai sektor penerbangan kurang maju, selain musim tengkujuh di negara itu yang mengakibatkan masalah pada sektor penerbangan komersial dan tentera sebelum ini.

Jun lalu, 12 orang terkorban apabila pesawat tentera Myanmar membawa pemimpin kanan agama serta penderma, terhempas.

Kejadian serupa turut berlaku di Laut Andaman pada 2017 membunuh semua 122 penumpang yang disifatkan kemalangan udara paling teruk dalam sejarah negara.

Pihak berkuasa menyalahkan cuaca buruk sebagai punca insiden itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.