
Rayuan mereka menyusul kajian disokong orang kaya dan badan bukan berkeuntungan yang mendapati cukai kekayaan ke atas individu terkaya di dunia mampu mengumpul USD2.52 trilion setahun – cukup untuk membayar vaksin Covid-19 bagi setiap orang dan membebaskan 2.3 bilion orang daripada belenggu kemiskinan.
Dalam surat terbuka kepada mesyuarat Davos dalam talian Forum Ekonomi Dunia, 102 jutawan, termasuk pewaris Disney, Abigail Disney berkata, sistem cukai semasa tidak adil dan “sengaja diwujudkan untuk menjadikan orang kaya lebih kaya”.
“Dunia perlu menuntut orang kaya membayar cukai mereka secara adil,” menurut surat itu.
“Kenakan cukai kepada kami, orang kaya, dan cukai kami sekarang.”
Rayuan mereka menyusul laporan badan amal global, Oxfam minggu ini yang berkata, kekayaan 10 lelaki terkaya di dunia meningkat berganda kepada USD1.5 trilion dalam tempoh dua tahun pertama pandemik, ketika ketidaksamaan dan kemiskinan melonjak.
“Sebagai jutawan, kami tahu sistem cukai semasa tidak adil,” menurut surat yang diedarkan dalam kumpulan termasuk “Patriotic Millionaires”, “Millionaires for Humanity”, “Tax me Now” dan Oxfam.
“Kebanyakan daripada kami boleh berkata, ketika dunia melalui banyak penderitaan dalam tempoh dua tahun ini, kami sebenarnya melihat kekayaan kami meningkat ketika pandemik – tetapi hanya sebilangan kecil dalam kalangan kami yang boleh kata kami membayar cukai secara adil.”
Jutawan yang menandatangani surat itu termasuk lelaki dan wanita kaya dari Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Britain, Denmark, Norway, Austria, Belanda dan Iran.
“Patriotic Millionaires” mengambil bahagian dalam kajian cukai kekayaan itu dengan rangkaian badan bukan berkeuntungan dan gerakan sosial, termasuk “Fight for Inequality Alliance”, Oxfam dan badan pemikir Institut Kajian Dasar yang berpangkalan di AS.
Selain membiayai vaksin seluruh dunia dan mengurangkan kadar kemiskinan, kumpulan itu berkata, cukai berkenaan cukup untuk menyediakan penjagaan kesihatan dan perlindungan sosial kepada 3.6 bilion orang di negara berpendapatan sederhana dan rendah.
Cukai itu akan ditetapkan pada kadar 2% untuk individu mempunyai kekayaan lebih USD5 juta, 3% bagi lebih USD50 juta dan 5% buat USD1 bilion.