Kadar kelahiran di China catat rekod terendah pada 2021

Kadar kelahiran di China catat rekod terendah pada 2021

Tahun lepas, kadar kelahiran merosot kepada 7.52 bagi setiap 1,000 orang, daripada 8.52 pada 2020.

Tahun lepas, China melonggarkan dasarnya dengan membenarkan pasangan memiliki tiga anak, berbanding dua sebelumnya. (Gambar AP)
BEIJING:
Kadar kelahiran di China menjunam ke paras terendah tahun lepas, menurut data rasmi hari ini, tatkala penganalisis memberi amaran bahawa penuaan lebih cepat daripada jangkaan boleh memperburuk kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi.

Beijing bergelut dengan krisis demografi di tengah-tengah tenaga kerja yang semakin tua, ekonomi yang perlahan dan pertumbuhan populasi yang paling lemah dalam tempoh beberapa dekad.

Kadar kelahiran di ekonomi kedua terbesar di dunia itu merosot kepada 7.52 bagi setiap 1,000 orang, menurut data Biro Perangkaan Kebangsaan, daripada 8.52 pada 2020.

Ini menandakan angka terendah dicatatkan dalam data Buku Tahunan Statistik negara sejak 1978, juga terendah sejak Komunis China diasaskan pada 1949.

Walaupun pihak berkuasa melonggarkan “dasar satu anak” di negara ini pada 2016, dengan membenarkan pasangan mempunyai dua anak dan melonggarkan salah satu peraturan perancangan keluarga terketat di dunia, perubahan itu gagal mencetuskan ledakan kelahiran.

Tahun lepas, dasar dilonggarkan lagi dengan membenarkan pasangan memiliki tiga anak.

Sebanyak 10.62 juta kelahiran dicatatkan tahun lepas, menurut data rasmi.

Kadar perkembangan populasi kebangsaan menjunam kepada 0.34 bagi 1,000 orang, daripada angka 1.45 sebelumnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.