Penganut berhimpun, tak hirau ancaman ‘superspreader’

Penganut berhimpun, tak hirau ancaman ‘superspreader’

Mereka mempercayai mandi di sungai dianggap suci itu sempena festival Makarsankranti dapat mencuci dosa.

Penganut berhimpun di tebing Sungai Ganges di Prayagraj pada Jumaat. (Gambar AP)
PRAYAGRAJ:
Ratusan ribu penganut Hindu berhimpun di tebing Sungai Ganges pada Jumaat untuk mandi sempena acara keagamaan, dalam pada negara itu berdepan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi sejak sebulan lalu.

Penganut Hindu percaya mandi di sungai dianggap suci itu sempena festival Makarsankranti dapat mencuci dosa.

Sejumlah besar penganut dilihat mandi di bahagian sungai itu di Bengal Barat, yang merekodkan bilangan kes kedua tertinggi selepas Maharashtra.

Di Uttar Pradesh, utara India, ribuan penganut – ramai daripadanya tidak memakai pelitup muka – berhimpun di tebing sungai itu di bandar suci Prayagraj.

“Saya tidak boleh bernafas jika memakai pelitup muka,” kata Ram Phal Tripathi yang datang bersama keluarganya dari satu perkampungan di Uttar Pradesh.

“Setiap tahun saya datang untuk mandi. Tak kan tahun ini pula saya tidak melakukannya?”

India sekali lagi berdepan lonjakan kes jangkitan virus korona, dengan kebanyakannya melibatkan varian Omicron yang mudah merebak.

Bagaimanapun, kadar kemasukan ke hospital rendah dengan kebanyakan pesakit sekadar berehat di rumah.

Para doktor negara itu merayu Mahkamah Tinggi di Bengal Barat mengetepikan keputusan yang membenarkan perayaan festival itu tahun ini kerana bimbang ia menjadi acara “superspreader”.

Tahun lalu, satu perhimpunan keagamaan besar-besaran di utara India mencetuskan jangkitan kes yang mencapai rekod tinggi.

Pada Jumaat, Kementerian Kesihatan melaporkan 264,202 kes baharu virus korona dalam tempoh 24 jam lalu. Ini membawa jumlah keseluruhan kes jangkitan di India kepada 36.58 juta.

Jumlah kematian akibat Covid-19 kini adalah 485,350, kata kementerian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.