Kerajaan Australia batal lagi visa Djokovic

Kerajaan Australia batal lagi visa Djokovic

Bintang tenis nombor satu dunia itu, yang tidak menerima vaksin Covid-19, disifatkan mampu membawa risiko terhadap masyarakat.

Visa Novak Djokovic sekali lagi dibatalkan kerajaan Australia hari ini. (Gambar AP)
MELBOURNE:
Kerajaan Australia membatalkan visa Novak Djokovic untuk kali kedua pada Jumaat dengan memutuskan bintang tenis nombor satu dunia itu – yang tidak menerima vaksin Covid-19 – mampu membawa risiko terhadap masyarakat.

Susulan keputusan itu, ada kemungkinan kes satu lagi tuntutan mahkamah buat kali kedua difailkan bintang tenis Serbia itu, untuk membolehkannya terus kekal di negara itu dan bertanding dalam kejohanan Australian Open.

Malangnya masa semakin suntuk untuknya memandangkan acara sukan terkemuka itu dijadualkan bermula pada Isnin.

Menteri Imigresen Australia Alex Hawke menggunakan budi bicaranya untuk menolak visa Djokovic, selepas mahkamah membatalkan keputusan pembatalan visa terdahulu oleh kerajaan Australia.

“Hari ini saya menggunakan kuasa di bawah Seksyen 133C(3) Akta Migrasi untuk membatalkan visa dipegang Novak Djokovic atas dasar kesihatan dan ketenteraman awam, atas alasan ini dilakukan demi kepentingan awam,” kata Hawke dalam kenyataan.

“Kerajaan tegas dalam komitmen melindungi sempadan Australia, terutama berkaitan wabak Covid-19.”

Katanya, beliau telah “mempertimbangkan dengan mendalam” maklumat diberikan Djokovic, Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri, selain Pasukan Sempadan Australia (ABF).

Di bawah seksyen digunakan menteri itu dalam Akta Migrasi dalam membatalkan visa itu, Djokovic tidak akan dibenarkan mendapat visa untuk memasuki Australia selama tiga tahun, melainkan wujud keadaan mendesak yang menjejaskan kepentingan Australia.

Djokovic, juara bertahan Australian Open, dijadualkan melawan rakan senegara Miomir Kecmanovic sama ada pada Isnin atau Selasa.

Isu berkaitan visanya mencetuskan debat di seluruh dunia dalam hak berkaitan vaksinasi, selain persoalan mengenai kesilapan Australia dalam menangani visa Djokovic. Ia turut menjadi isu sukar untuk Perdana Menteri Scott Morison dalam kempen pilihan raya.

Bintang tenis itu yang juga mempertikaikan vaksin, mencetuskan kemarahan di Australia apabila mengumumkan minggu lalu bahawa beliau akan pergi ke Melbourne untuk bertanding dalam Australian Open dengan pengecualian perubatan daripada mendapatkan vaksin Covid-19.

Ketika tiba di Australia, ABF memutuskan pengecualiannya tidak sah, seterusnya Djokovic ditahan bersama pemohon suaka di sebuah hotel penahanan imigresen selama beberapa hari.

Mahkamah pada Isnin membenarkannya kekal di Australia atas alasan pihak berkuasa “tidak munasabah” dalam cara mengendalikan temu bual tujuh jam pada waktu malam ketika beliau tiba di negara itu.

Tinjauan pendapat dalam talian oleh kumpulan media News Corp mendapati 83% menyokong kerajaan mengusir bintang tenis itu.

Australia mengalami antara “lockdown” paling lama di dunia. Kadar vaksinasi golongan dewasa negara itu adalah 90%, namun penularan varian Omicron membawa bilangan kes negara itu kepada hampir sejuta dalam tempoh dua minggu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.