Rundingan damai selatan Thai disambung di KL selepas tangguh 2 tahun

Rundingan damai selatan Thai disambung di KL selepas tangguh 2 tahun

Tiga perkara dipersetujui dalam rundingan dua hari itu, iaitu mengurangkan keganasan di lapangan, penglibatan bersama sayap politik dan mekanisme perbincangan di lapangan.

Anggota keselamatan melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya di daerah Saiburi, Pattani yang bersempadan dengan daerah Bacho, Narathiwat, selatan Thailand pada Ogos 2021. (Gambar Bernama)
PATTANI:
Rundingan damai selatan Thailand yang tertangguh hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19 diadakan semula secara bersemuka buat pertama kali di Kuala Lumpur semalam.

Ketua perunding, Wanlop Rugsanaoh dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, iaitu Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang diketuai Anas Abdulrahman menghadiri mesyuarat kumpulan kerja bersama rundingan damai selatan Thailand itu.

Hadir sama dalam mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini ialah bekas Ketua Polis Negara, Rahim Mohd Noor, yang bertindak sebagai fasilitator.

Setiausaha Proses Rundingan Damai Selatan Thailand, Thira Daewa berkata, tiga perkara dipersetujui di meja rundingan, iaitu mengurangkan keganasan di lapangan, penglibatan bersama sayap politik dan mekanisme perbincangan di lapangan.

“Ini akan menjadi hala tuju proses rundingan damai yang akan datang,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Wanlop dijangka menghadiri sidang media di Phuket Sabtu ini, di mana beliau akan memaklumkan perkembangan terkini proses rundingan di Kuala Lumpur yang berakhir hari ini.

Mesyuarat rasmi pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Jan 2020, apabila kedua-dua pihak bersetuju rundingan adalah cara terbaik menyelesaikan konflik bersenjata di selatan Thailand. Mesyuarat kedua diadakan pada 2 dan 3 Mac 2020, juga di Kuala Lumpur.

Mesyuarat rasmi itu disifatkan harapan baharu untuk menamatkan keganasan di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Rundingan secara bersemuka tergendala, apabila sempadan Thailand dan Malaysia ditutup berikutan pandemik Covid-19. Namun, kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat maya sebanyak tiga kali sepanjang tempoh Covid-19.

Pemberontakan di selatan Thailand yang bermula pada 2004 mengorbankan lebih 7,000 nyawa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.