Mahkamah AS tolak rayuan Putera Andrew untuk batalkan saman kes serangan seksual

Mahkamah AS tolak rayuan Putera Andrew untuk batalkan saman kes serangan seksual

Keputusan berkenaan membuka jalan untuk kes diteruskan terhadap kerabat diraja Britain itu.

Putera Andrew dituduh melakukan serangan seksual terhadap Virginia Giuffre pada 2001 ketika mangsa berusia 17 tahun. (Gambar AP)
NEW YORK:
Seorang hakim AS pada Rabu menolak rayuan Putera Andrew untuk membatalkan saman terhadapnya kerana dakwaan serangan seksual, seterusnya membuka jalan untuk kes diteruskan terhadap kerabat diraja Britain itu.

Hakim New York, Lewis Kaplan menolak usul Andrew untuk membatalkan saman difailkan oleh Virginia Giuffre itu.

Giuffre mendakwa ahli perniagaan Jeffrey Epstein “mengongsikannya” dengan pelbagai lelaki kaya dan berpengaruh termasuk Putera Andrew. Putera kedua Ratu Elizabeth II itu berulang kali menafikan dakwaan berkenaan.

Peguam Andrew, Andrew Brettler sebelum ini memohon Kaplan menolak saman itu atas alasan satu penyelesaian telah ditandatangani antara Giuffre dan Epstein pada 2009.

Susulan itu, berhujah Giuffre “mengetepikan haknya” untuk menyaman defendan lain berkaitan jenayah seks didakwa dilakukan oleh Epstein.

Dalam perjanjian itu, yang butirannya pertama kali didedahkan bulan ini, Giuffre bersetuju menarik balik tuntutan sivil bernilai USD500,000 terhadap Epstein.

Perjanjian itu mengandungi peruntukan yang didakwa melindungi “pihak lain yang berpotensi menjadi defendan” daripada disaman berkaitan penderaan seksual dilakukan oleh Epstein. Epstein membunuh diri dalam penjara pada 2019.

Giuffre menyaman Andrew untuk jumlah yang tidak dinyatakan tahun lalu, dengan mendakwa putera raja itu menyerangnya secara seksual pada 2001 ketika wanita itu baru berusia 17 tahun dan masih kanak-kanak mengikut undang-undang AS.

Katanya, Andrew menyerangnya di kediaman Epstein di New York, selain satu pulau peribadi milik Epstein di US Virgin Islands.

Giuffre turut mendakwa Andrew menyerangnya secara seksual di kediaman sosialit Ghislaine Maxwell yang pada Disember lalu didapati bersalah memperdagangkan remaja bawah umur secara seksual untuk Epstein.

Andrew, 61, masih belum dikenakan sebarang tuduhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.