
Bandar bersejarah dengan 13 juta penduduk itu telah berada di perintah berkurung yang ketat selama dua minggu kerana Beijing berpegang pada strategi “sifar-Covid” untuk menghapuskan semua kes virus.
Insiden menyedihkan itu diperincikan dalam catatan media sosial oleh anak saudara wanita itu pada 1 Jan, termasuk gambar dan video wanita itu duduk di atas bangku plastik di luar hospital yang dipenuhi dengan darah.
Biarpun video serta gambar kejadian dibuang daripada media sosial, rakaman yang tersebar sebelum ini mendapat hampir 600 juta tontonan dalam tempoh beberapa jam sehingga mengundang kemarahan orang ramai.
Pihak berkuasa tempatan bandar itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, insiden yang berlaku di Hospital Xi’an Gaoxin itu menimbulkan kebimbangan serta impak sosial yang buruk.
Menurut kenyataan itu lagi, selain siasatan sedang dijalankan oleh biro kesihatan tempatan, Pengarah Urusan hospital berkenaan dikenakan tindakan gantung kerja manakala kakitangan yang bertanggungjawab di jabatan pesakit luar hospital itu sudah disingkirkan daripada jawatannya.
Malah, hospital terbabit diarah membuat permohonan maaf secara terbuka.
Berdasarkan status tular yang dimuat naik anak saudaranya itu, kakitangan hospital terbabit dilihat enggan membenarkan mangsa yang sarat mengandung masuk ke dalam premis selama dua jam kerana wanita berkenaan tidak menjalani ujian saringan Covid-19 dalam tempoh 48 jam.
Malah, anak saudara mangsa memaklumkan keputusan ujian saringan Covid-19 wanita itu baharu sahaja tamat tempoh beberapa jam sebelum insiden terbabit berlaku.
AFP bagaimanapun tidak dapat mengesahkan hantaran itu, dan panggilan ke hospital juga tidak dijawab.
Semalam, pegawai memberitahu pemberita bahawa Xi’an membuka “saluran hijau” untuk menyediakan akses pantas kepada perkhidmatan perubatan kepada kumpulan tertentu – seperti wanita hamil dan pesakit yang menghidap penyakit kritikal – tanpa merujuk kes ini.
Kes koronavirus di China kekal rendah mengikut piawaian antarabangsa.
Tetapi dalam beberapa minggu kebelakangan ini, jangkitan telah mencapai tahap tinggi yang kali terakhir dicatatkan pada Mac 2020.
Terdapat 189 kes dilaporkan hari ini, termasuk 63 di Xi’an.