6 pemberontak terbunuh di Kashmir, kata polis India

6 pemberontak terbunuh di Kashmir, kata polis India

Sejak lebih tiga dekad lalu, kumpulan pemberontak menentang tentera India dan mahukan kebebasan Kashmir atau bergabung dengan Pakistan.

Seorang anggota tentera India berkawal di luar sebuah gereja di Srinagar pada Sabtu. (Gambar AP)
SRINAGAR:
Tentera kerajaan India di Kashmir membunuh enam suspek pemberontak dalam dua serangan yang berlaku semalaman, kata polis hari ini.

Sejak lebih tiga dekad lalu, kumpulan pemberontak menentang tentera India dan mahukan kebebasan Kashmir atau bergabung dengan Pakistan, malah sudah menguasai wilayah itu sejak selepas kemerdekaan lagi.

Polis India berkata, enam yang terbunuh di dua kampung yang dikuasai kumpulan Jaish-e-Mohammad sebuah kumpulan Islam berpangkalan di Pakistan termasuk dua warga Pakistan.

Dalam kejadian itu, pegawai penguat kuasa undang-undang memberitahu AFP bahawa dua tentera dan seorang polis turut cedera.

Pegawai kerajaan berkata, sekurang-kurangnya 380 militan, hampir 100 orang awam dan lebih 80 tentera terbunuh di wilayah itu sejak Ogos 2019.

Ia susulan New Delhi membatalkan kuasa autonomi terhad negeri itu dan meletakkannya di bawah pemerintah langsung kerajaan, sekali gus menambah kemarahan penduduk tempatan serta sokongan kepada pihak militan.

Menurut portal Keganasan Asia Selatan, tahun ini saja kematian meningkat kepada 264 orang, berbanding 321 maut pada tahun lalu.

Polis berkata, dengan operasi ketenteraan yang diperhebatkan terhadap pemberontak, bilangan pejuang tempatan susut kepada kurang 100 orang buat kali pertama dalam sedekad.

Ketua polis tempatan, Vijay Kumar, memberitahu akhbar Economic Times minggu ini bahawa kira-kira 70% daripada golongan muda yang menyertai kumpulan militan tahun ini ‘sama ada dibunuh atau ditangkap’.

Kebanyakan mereka yang ditangkap ditahan di bawah undang-undang antikeganasan yang dipanggil Akta Pencegahan Aktiviti Haram (UAPA).

Undang-undang membenarkan seseorang ditahan selama enam bulan tanpa didakwa dan hampir mustahil diikat jamin.

Salah seorang daripada mereka yang berada dalam tahanan sejak November ialah Khurram Parvez, seorang penyelaras program untuk kumpulan hak yang dihormati, Gabungan Masyarakat Sivil Jammu Kashmir (JKCCS).

Pada 1 Dis, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB mengkritik penangkapan itu dan menyatakan UAPA ‘menimbulkan kebimbangan serius berkaitan hak mereka yang tidak bersalah dan proses undang-undang yang wajar serta hak perbicaraan yang adil’.

Kerajaan India berkata kenyataan itu “mengkhianati kekurangan pemahaman sepenuhnya di pihak OHCHR tentang cabaran keselamatan yang dihadapi oleh India daripada keganasan rentas sempadan”.

India dianggarkan mempunyai 500,000 tentera yang dikerahkan di Kashmir. India dan Pakistan telah bertempur dalam dua daripada tiga peperangan mereka ke atas Kashmir dan satu lagi pada 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.