
Pada 2010, China pernah melarang tindakan sedemikian yang memalukan suspek secara terbuka selepas beberapa dekad kempen dijalankan aktivis hak asasi.
Bagaimanapun, amalan itu didakwa kembali digunapakai kerajaan yang bergelut dalam pelaksanaan dasar sifar Covid-19 kebangsaan.
Empat suspek yang memakai sut hazmat sambil membawa plakad tertera gambar dan nama mereka, berarak depan orang ramai yang memenuhi bandar Jingxi, wilayah Guangxi, semalam, menurut laporan Guangxi News.
Gambar menunjukkan setiap suspek yang memakai pelindung muka, topeng dan sut hazmat ditahan oleh dua pegawai polis sambil dikelilingi sekumpulan polis yang lengkap dengan peralatan rusuhan termasuk beberapa anggota lagi membawa pistol.
Menurut akhbar tempatan, keempat-empat suspek yang ditahan didakwa menyeludup pendatang tanpa izin ketika sebahagian besar sempadan China masih ditutup kerana pandemik.
Bandar Jingxi terletak berdekatan antara sempadan China dengan Vietnam.
Dimalukan secara terbuka adalah sebahagian daripada tindakan disiplin yang diumumkan oleh kerajaan tempatan pada Ogos, bagi menghukum individu yang tidak mematuhi peraturan kesihatan.
Memetik laporan Guangxi News, tujuan perarakan itu diadakan untuk memberikan ‘amaran kehidupan nyata’ kepada orang awam dan menghalang jenayah berkaitan sempadan.
Ia turut mendapat kecaman di media sosial kerana menggunakan pendekatan keras.
Menurut laporan Beijing News hari ini, syarikat media yang bersekutu dengan Parti Komunis China, meskipun Jingxi di bawah tekanan hebat untuk membendung kes import Covid-19, langkah itu secara serius melanggar semangat kedaulatan undang-undang dan tidak lagi dibenarkan berlaku.
Suspek lain yang dituduh terbabit dengan penyeludupan haram dan pemerdagangan manusia turut menganjurkan perarakan pada beberapa bulan lalu, menurut laporan di laman web kerajaan Jingxi.
Video perarakan serupa pada November menunjukkan orang ramai melihat dua banduan ditahan sementara seorang pegawai tempatan membacakan kesalahan jenayah mereka pada pembesar suara.
Mereka kemudiannya dilihat berarak di jalanan dengan sut hazmat mereka, diapit oleh polis yang memakai pakaian anti rusuhan.
Dan pada Ogos, berpuluh-puluh polis bersenjata dilihat mengarak seorang suspek melalui jalan-jalan ke taman permainan kanak-kanak.