Kes Covid-19 naik mendadak, China lanjutkan perintah berkurung

Kes Covid-19 naik mendadak, China lanjutkan perintah berkurung

Pihak berkuasa berdepan 'kebangkitan semula' virus berkenaan pada beberapa minggu lalu, dan melaporkan 209 jangkitan hari ini, yang paling tinggi direkodkan sejak Mac lalu.

China berdepan kenaikan mendadak jangkitan Covid-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini. (Gambar AP)
BEIJING:
Ratusan ribu penduduk di utara China hari ini diarahkan supaya berada di rumah susulan perintah berkurung diumumkan pihak berkuasa bagi mengekang penularan mendadak kes Covid-19 yang mencapai paras tertinggi dalam tempoh 21 bulan.

China, lokasi di mana virus Covid-19 itu mula menular dua tahun lalu, mematuhi strategi ‘sifar Covid’ dengan memperketat sekatan sempadan, kuarantin lebih lama dan mengenakan perintah berkurung bersasar sebagai persediaan Beijing menerima ribuan pelawat asing sempena Sukan Olimpik musim sejuk pada Februari depan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berdepan ‘kebangkitan semula’ virus berkenaan pada beberapa minggu lalu, apabila dilapor merekodkan 209 jangkitan hari ini.

Angka itu adalah paling tinggi pernah direkodkan sejak Mac tahun lalu, apabila pandemik menular di segenap pelosok pusat bandar Wuhan.

Lonjakan itu – walaupun rendah berbanding kes yang berleluasa di Eropah dan AS – telah mendorong pihak berkuasa untuk mengenakan apa yang mereka panggil sekatan “paling ketat” mungkin di bandar utara Xi’an, yang 13 juta penduduknya memasuki hari keenam berkurung di rumah.

Susulan itu, bandar berdekatan lain seperti Yan’an yang terletak 300 kilometer (km) dari Xi’an pada hari ini, mengumumkan penutupan premis perniagaan selain mengarahkan ratusan ribu orang dalam satu daerah untuk kekal berada dalam rumah.

Perintah berkurung di Xi’an adalah paling meluas di China selepas Wuhan yang turut dikenakan langkah sama.

Menurut laporan stesen penyiaran CCTV, bandar terbabit menyediakan lebih 4,400 tapak persampelan dan mengerahkan lebih 100,000 petugas untuk mengendalikan ujian.

Rakaman disiarkan menunjukkan penduduk yang memakai pelitup hidung dan mulut sedang beratur di jalanan dan pusat sukan untuk melakukan ujian saringan.

Tiada bekalan makanan

Larangan memandu dan mengehadkan anggota isi rumah setiap tiga hari untuk membeli barang keperluan dapur mengundang isu kelaparan.

Kebanyakan penduduk Xi’an menggunakan media sosial untuk memohon pertolongan bagi membeli makanan dan barang keperluan asas lain.

“Saya hampir mati kelaparan,” tulis seorang di laman Weibo.

“Tiada makanan, kawasan perumahan saya tidak akan membenarkan saya keluar, dan saya hampir kehabisan mi segera … tolong bantu!”

“Saya tidak mahu mendengar lagi berita tentang bagaimana semuanya akan baik-baik saja,” kata seorang lagi.

“Jadi bagaimana jika bekalan begitu banyak – ia tidak berguna jika anda tidak memberikannya kepada orang ramai.”

Pihak berkuasa menegaskan bahawa bekalan kekal stabil kerana mereka mengekalkan kawalan ketat ke atas pergerakan masuk dan keluar dari Xi’an.

Pelajar juga telah dilarang meninggalkan asrama universiti melainkan bila perlu, lapor CCTV.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.