Jenazah 16 mangsa bot karam di Selat Inggeris dihantar pulang ke Iraq

Jenazah 16 mangsa bot karam di Selat Inggeris dihantar pulang ke Iraq

Pesawat yang membawa mereka tiba sekitar 2 pagi di Arbil, ibu kota wilayah Kurdistan Iraq, dan jenazah kemudian dihantar ambulans ke kampung halaman masing-masing.

Kapal Border Force mengangkut pendatang ke Dover selepas insiden bot karam di Selat Inggeris Jumaat lepas (Gambar AP)
ARBIL:
Jenazah 16 mangsa yang terkorban apabila bot dinaiki mereka karam di Selat Inggeris ketika dalam perjalanan ke England dihantar pulang ke Kurdistan Iraq awal hari ini.

Pesawat yang membawa mereka tiba sekitar 2 pagi di Arbil, ibu kota wilayah autonomi di utara Iraq itu, dan jenazah kemudian dihantar ambulans ke kampung halaman masing-masing di Darbandikhan, Ranya, Soran and Qadrawa.

Sekurang-kurangnya 27 terkorban dalam tragedi 24 Nov itu, kejadian yang meragut paling banyak nyawa sejak Selat itu menjadi hab laluan sulit pendatang dari Perancis ke England.

Di terminal lapangan terbang Arbil, keluarga mangsa yang diselubungi kesedihan menunggu ketibaan jenazah insan tersayang, ada yang berpelukan dan menunjukkan gambar saudara mereka yang terkorban.

Penghantaran pulang yang asalnya dijadualkan Jumaat lepas telah dua kali ditangguhkan.

Kebanyakan mangsa yang terkorban adalah lelaki dewasa, namun tujuh wanita, seorang remaja berusia 16 tahun dan seorang kanak-kanak tujuh tahun turut maut.

Selain 16 warga Kurd Iraq itu, 26 mangsa lain yang dikenal pasti termasuk seorang warga Kurd Iran, empat lelaki Afghanistan, tiga warga Ethiopia, serta seorang masing-masing dari Somalia dan Mesir.

Hanya dua orang berjaya diselamatkan selepas bot boleh kembung mereka karam, iaitu seorang warga Kurd Iraq dan seorang dari Sudan, menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis.

Menurut mangsa warga Iraq yang terselamat, terdapat sejumlah 33 orang menaiki bot itu.

Bencana ini menyebabkan ketegangan diplomatik yang hebat antara London dan Paris.

Dalam tempoh 48 jam selepas kejadian, Presiden Perancis Emmanuel Macron menuduh Perdana Menteri Britain Boris Johnson sebagai “tidak serius” dalam pendekatannya menghentikan lintasan pendatang.

Paris kesal dengan reaksi awal Johnson, yang dilihat sebagai mengalihkan kesalahan kepada Perancis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.