
Bulan lalu, kerajaan Palestin mula menerima pelancong luar negara bagi menghidupkan kembali sektor pelancongan di wilayahnya, terutamanya Bethlehem, selepas hampir dua tahun terbantut akibat wabak.
Penggiat industri pelancongan kini mula membuat persediaan bagi menerima pelancong, dengan kedai-kedai antik dibuka semula, hotel memanggil semula pekerja, dan ribuan produk dihasilkan.
Pelancong luar negara turut menyatakan hasrat untuk datang, dan ini disambut baik oleh penduduk tempatan yang teruja tentang prospek sambutan Krismas tahun ini.
Bagaimanapun, dengan kemunculan Omicron, kedua-dua pihak berkuasa Palestin dan Israel mengetatkan prosedur perjalanan di sempadan, menghalang orang luar masuk bagi mengelak penularan virus.
Laila Ghattas, penganut Kristian dari Bethlehem, berkata sambutan Krismas tahun ini terhad bagi diri dan rakan-rakannya, memandangkan anak-anaknya dilarang mengunjungi bandar itu.
“Sekalipun virus baharu itu cuba halang kami daripada merayakan (Krismas) bersama saudara mara, kami masih akan menyambutnya dengan rakan-rakan, dari satu bandar ke bandar yang lain seperti biasa,” kata wanita itu.
Laila adalah antara ribuan warga Palestin yang menyalakan lampu pada pokok Krismas gergasi di hadapan Manger Square, berhampiran Gereja Nativity di Bethlehem, yang mana acaranya dihadiri duta-duta serta keluarga beragama Kristian dan Islam.
Seorang penduduk bandar Ramallah, Safaa Hana, yang datang ke Bethlehem untuk menyertai keraian itu memberitahu The New Arab, beliau gembira dapat menyertai acara nyalaan lampu pokok Krismas itu.
“Di Palestin, penganut Islam dan Krismas menyambut semua perayaan bersama-sama kerana tinggal di tempat yang sama dan berkongsi semua tradisi,” kata wanita berusia 29 tahun itu.
Sejak dua tahun lalu, komuniti Kristian di wilayah Palestin tidak dapat merayakan musim Krismas disebabkan penularan virus Covid-19 yang mendorong pihak berkuasa tempatan melaksanakan sekatan penuh di Tebing Barat.
Namun, bagi musim cuti Krismas dan Tahun Baru kali ini, banyak tempahan telah dibuat di kawasan tersebut.
Menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin, lebih 51,700 penganut Kristian tinggal di wilayah-wilayah Palestin.
Sejak Hamas merampas kawalan ke atas Semenanjung Gaza pada 2007, bilangan penganut Kristian di enklaf pesisir itu turun kepada kira-kira 900.
Beberapa hari lalu, Hamas membenarkan penganut Kristian di kawasan itu menyalakan lampu pada pokok Krismas gergasi di bandar Gaza.