Suspek kejadian tembakan di pasar raya dianggap tidak kompeten untuk dibicarakan

Suspek kejadian tembakan di pasar raya dianggap tidak kompeten untuk dibicarakan

Dua penilaian psikologi mencapai kesimpulan Ahmad Al Aliwi Alissa, yang dituduh membunuh 10 orang, tidak sihat dari segi mental.

Ahmad Al Aliwi Alissa berdepan 10 tuduhan bunuh darjah pertama susulan kejadian tembakan pada 22 Mac di sebuah pasar raya di Boulders, Colorado. (Gambar AP)
DENVER:
Seorang hakim di Colorado semalam memutuskan bahawa seorang lelaki yang dituduh membunuh 10 orang dalam kejadian tembakan di pasar raya pada Mac tidak kompeten untuk dibicarakan.

Hakim Boulder County Ingrid Bakke membuat keputusan ini semasa pendengaran kes membabitkan Ahmad Al Aliwi Alissa, 22, di mana telah didedahkan dua penilaian psikologi yang diperintahkan mahkamah berasingan mencapai kesimpulan tertuduh tidak sihat dari segi mental.

Bakke memerintahkan Alissa menjalani rawatan di hospital mental negeri.

Undang-undang Colorado memperuntukkan agar seorang defendan jenayah yang dianggap tidak kompeten menjalani rawatan bagi menjadikannya kompeten untuk dibicarakan.

Alissa berdepan 10 tuduhan bunuh darjah pertama susulan kejadian tembakan pada 22 Mac di pasar raya King Soopers di Boulders, Colorado.

Bersenjatakan pistol Ruger AR-556 yang dibelinya secara sah, Alissa menyerbu pasar raya itu dan melepaskan tembakan. Antara yang terbunuh adalah seorang pegawai polis.

Pihak berkuasa belum dapat mengenal pasti motif serangan ini.

Dua ahli psikologi sebelum ini menilai Alissa dan menganggapnya tidak kompeten, mendorong pihak pendakwaan memohon perintah pemeriksaan mental kedua, yang dibenarkan hakim.

Standard kompeten menghendaki defendan faham akan tuduhan dan boleh membantu secara bermakna dalam pembelaan mereka sendiri.

Peguam Daerah Michael Dougherty berkata di mahkamah semalam, disebabkan penilai kedua turut membuat kesimpulan bahawa Alissa tidak sihat dari segi mental, beliau tidak lagi akan membantahnya.

“Kami yakin dengan ubat-ubatan dan rawatan di hospital negeri … bahawa dia boleh dipulihkan (supaya cukup kompeten untuk dibicarakan),” kata Dougherty kepada hakim.

Peguam Alissa, Kathryn Herold berkata, bahawa anak guamnya menghidap “penyakit mental serius” yang tidak didedahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.