Varian Omicron: Biden umum langkah keselamatan baharu

Varian Omicron: Biden umum langkah keselamatan baharu

Joe Biden berkata langkah itu akan membolehkan sekolah dan perniagaan kekal dibuka sambil memastikan rakyat Amerika selamat.

Menurut Joe Biden tindakan baharu itu termasuk meningkatkan liputan vaksinasi Covid-19 di seluruh Amerika Syarikat.
WASHINGTON:
Presiden Joe Biden pada Khamis mengumumkan pelbagai langkah baharu dalam usaha untuk memerangi Covid-19, selepas dua kes melibatkan varian Omicron dilaporkan di Amerika Syarikat (AS).

“Pelan baharu itu adalah gabungan daripada nasihat-nasihat yang diutarakan anda semua dan ia tidak melibatkan sekatan pergerakan tetapi liputan vaksinasi dan suntikan dos penggalak yang lebih meluas dan ujian saringan dan banyak lagi,” kata Biden, lapor Agensi Berita Xinhua.

Biden berkata langkah itu akan membolehkan sekolah dan perniagaan kekal dibuka sambil memastikan rakyat Amerika selamat.

“Kami akan melawan varian ini dengan sains dan kecekapan bukan secara huru-hara dan kekeliruan,” katanya.

Tindakan baharu itu termasuk meningkatkan liputan vaksinasi Covid-19 di seluruh AS, mengetatkan protokol ujian saringan untuk semua pengembara antarabangsa dan mewajibkan ujian negatif sehari sebelum berlepas ke negara ini.

Sebelum ini, pentadbiran Biden telah mengumumkan sekatan perjalanan dari Afrika Selatan dan tujuh negara selatan Afrika, susulan kes varian Omicron.

AS juga mengumumkan rancangan untuk melanjutkan peraturan pemakaian pelitup muka untuk perjalanan domestik sehingga pertengahan Mac 2022. Peraturan pelitup muka itu pada awalnya dijadualkan tamat Jan 2022.

Kes kedua varian Omicron di AS dilaporkan di Minnesota pada Khamis, sehari selepas kes pertama disahkan di California.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.