
Dalam laporan tahunannya yang baru dikeluarkan, “Parliamentarians at Risk: Reprisals against opposition MPs in Southeast Asia in 2021”, APRH berkata bilangan Ahli Parlimen yang ditahan meningkat daripada hanya seorang pada 2020 kepada 91 orang pada 2021, sebahagian besarnya disebabkan oleh perkembangan di Myanmar, apabila tentera melakukan rampasan kuasa pada Feb.
Laporan itu mendakwa terdapat juga perkembangan yang membimbangkan di negara lain di rantau ini, termasuk di Thailand, Filipina dan Malaysia.
Meskipun tidak dipaparkan secara terperinci, laporan itu menyebut bekas Ahli Parlimen pembangkang juga menjadi sasaran di Kemboja.
“Ahli Parlimen di seluruh Asia Tenggara semakin berisiko.”
“Anggota Parlimen yang menggunakan mandat mereka untuk mempertahankan hak asasi manusia atau memegang kuasa selama bertahun-tahun menjadi sasaran melalui tuduhan jenayah, ancaman dan gangguan, keganasan fizikal dan penahanan.
“Pada 2021, kita terus menyaksikan ahli Parlimen menjadi sasaran, sebahagian besarnya disebabkan rampasan kuasa tentera di Myanmar yang meninggalkan kesan yang dahsyat, serta perkembangan membimbangkan di tempat lain,” katanya.
Laporan itu turut menyebut kerajaan menggunakan respons terhadap Covid-19 untuk menutup perdebatan demokrasi secara tidak wajar, termasuk dengan membawa kes bermotif politik terhadap pengkritik dan anggota Parlimen yang menyuarakan pandangan berbeza.
Laporan itu mendakwa Covid-19 digunakan sebagai alasan untuk menangguhkan pilihan raya dan Parlimen selama lebih tujuh bulan di Malaysia.
“Gangguan kehakiman terhadap Ahli Parlimen berterusan di negara seperti Thailand dan Filipina, dan meningkat dengan ketara di Malaysia. Kes undang-undang jarang membawa kepada sabitan tetapi sebaliknya difailkan untuk mengganggu ahli Parlimen dan menutup kebebasan bersuara.
“Penyalahgunaan dan gangguan dalam talian terhadap Ahli Parlimen berterusan pada kadar yang membimbangkan di seluruh rantau ini, kebiasaannya melalui kempen yang menyebarkan maklumat palsu. Di Filipina, gangguan itu meningkat menjelang pilihan raya akan datang pada 2022,” katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga APHR dan bekas Ahli Parlimen Filipina, Teddy Baguilat Jr berkata gangguan sistematik terhadap Ahli Parlimen – sama ada dalam dan luar talian, kehakiman atau sebaliknya – jelas bertujuan menghalang mereka daripada menjalankan tugas, dan bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang bagi pihak rakyat.
“Serangan ke atas ahli Parlimen adalah serangan ke atas demokrasi… Peranan ahli Parlimen amat penting dalam demokrasi, terutamanya semasa pandemik sejak dua tahun lalu, atau ketika pilihan raya semakin hampir, seperti yang berlaku di Filipina dan Kemboja,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran laporan itu menerusi webinar hari ini.