Kes Covid-19 melonjak di Eropah, AS tidak galakkan rakyat ke Jerman dan Denmark

Kes Covid-19 melonjak di Eropah, AS tidak galakkan rakyat ke Jerman dan Denmark

Jabatan Negara AS mengeluarkan nasihat perjalanan tahap tertinggi bagi kedua-dua negara berkenaan, ‘menunjukkan tahap Covid-19 yang sangat tinggi’.

Rakyat AS diberi amaran bahawa ‘terdapat sekatan yang memberi kesan kepada kemasukan warga AS ke Denmark’. (Gambar Facebook)
WASHINGTON:
Jabatan Negara Amerika Syarikat menggesa rakyatnya untuk tidak pergi ke Jerman dan Denmark kerana kes Covid-19 sedang melonjak di Eropah.

Jabatan itu mengeluarkan nasihat perjalanan Tahap 4 – tahap tertinggi – bagi kedua-dua negara berkenaan, “menunjukkan tahap Covid-19 yang sangat tinggi”.

Mereka yang bakal melakukan perjalanan ke sana juga diberi amaran bahawa “terdapat sekatan yang memberi kesan kepada kemasukan warga AS ke Denmark”.

Kadar pengambilan vaksin yang perlahan di sesetengah negara dikatakan menjadi punca Eropah kembali menjadi pusat wabak. Di samping itu, varian Delta yang kuat merebak dan cuaca sejuk yang memaksa lebih ramai berkumpul di tempat tertutup turut dikatakan menjadi faktor.

Di Jerman, negara EU yang paling ramai penduduk, hanya 68% daripada populasi lengkap vaksinasi.

Golongan dewasanya yang telah lengkap vaksinasi digesa mendapatkan dos penggalak bagi mengatasi keberkesanan vaksin yang berkurangan selepas enam bulan.

“Mungkin menjelang penghujung musim sejuk ini, seperti yang kadang-kadang dikatakan secara sinis, hampir semua orang di Jerman akan diberi vaksin, sembuh atau mati,” kata Menteri Kesihatan Jens Spahn, sambil menggesa lebih ramai rakyat mendapatkan vaksin.

Dengan katil rawatan rapi terisi dengan pantas, wilayah Jerman yang paling teruk dilanda mengarahkan “lockdown” baharu, termasuk penutupan pasar Krismas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.