
Malala, 24, bernikah dengan Asser Malik menerusi satu majlis yang diadakan secara kecil-kecilan di Birmingham dan turut berkongsi gambar perkahwinannya di Twitter.
“Hari ini menandakan hari istimewa dalam kehidupan saya. Asser dan saya melafazkan ijab kabul untuk menjadi pasangan seumur hidup.
“Kami meraikan majlis pernikahan secara kecil-kecilan di rumah saya di Birmingham bersama keluarga kami. Doakan kami. Kami amat teruja untuk bersama-sama menempuhi perjalanan hidup seterusnya,” tulisnya di Twitter.
Ketika berusia 15 tahun, Malala ditembak oleh Taliban ketika berada di dalam bas sekolah di tempat tinggalnya dekat lembah Swat pada tahun 2012.
Beliau berjaya pulih daripada kecederaan itu beberapa bulan kemudian sebelum menerbitkan sebuah buku memoir bertajuk “I am Malala”.
Malala kemudiannya dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2017, berkongsi dengan Kailash Satyarthi yang juga pejuang hak kanak-kanak dari India.
Gadis itu menamatkan pengajian di Universiti Oxford tahun lalu dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi.
Malala kini terus memperjuangkan hak kanak-kanak perempuan untuk mendapatkan pendidikan menerusi penubuhan Dana Malala dan menyalurkan AS$2 juta ke Afghanistan.
Beliau juga telah menandatangani perjanjian dengan Apple TV+ untuk menerbitkan drama dan dokumentari yang memfokuskan wanita dan kanak-kanak.