
Kementerian Kesihatan Singapura pada 23 Okt memaklumkan hanya pekerja yang lengkap vaksinasi, atau yang telah pulih daripada jangkitan Covid-19 dalam tempoh 270 hari lepas, dibenarkan kembali ke tempat kerja mulai tahun depan.
Jurucakap PSD memaklumkan CNA, mulai 1 Januari, penjawat awam yang tidak divaksin dibenarkan bekerja dari rumah jika pekerja sudah dapat kembali ke pejabat.
Katanya lagi, penjawat awam yang bekerja dari rumah mungkin akan diberikan tugas lain jika ada, dengan imbuhan “sepadan dengan tanggungjawab pekerjaan alternatif itu”.
“Jika mereka memilih untuk tidak divaksin walaupun layak dari segi perubatan, kita boleh meletakkan mereka bercuti tanpa gaji sebagai pilihan terakhir atau membenarkan kontrak itu tamat tanpa diperbaharui,” tambahnya, menurut laporan Berita Harian.
Ini selaras dengan langkah yang digariskan bulan lalu oleh Kementerian Tenaga Manusia dan Kementerian Kesihatan bersama-sama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan dan Persekutuan Majikan Nasional Singapura.
Menurut PSD, terdapat kira-kira 153,000 penjawat awam di 16 kementerian dan lebih 50 badan berkanun di Singapura, dengan 98% telah lengkap vaksinasi.
Bakinya adalah “sebilangan kecil” yang tidak layak daripada segi perubatan menerima vaksin mRNA keluaran Pfizer-BioNTech dan Moderna, dan mereka dinasihatkan mendapatkan vaksin bukan mRNA, iaitu keluaran Sinovac.
Pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia pada Oktober menyatakan pekerja yang tidak mahu menerima vaksin dan kerjanya tidak dapat dilakukan di rumah mungkin ditamatkan perkhidmatan sebagai pilihan terakhir.