
Jabatan Keadilan (DOJ) hari ini mendedahkan butiran 52 pembunuhan dikatakan dilaksanakan oleh polis dalam kempen lima tahun.
Polis sebelum ini mendakwa semua mangsa berkenaan, merangkumi ribuan orang, adalah pengedar dadah yang melawan ketika ditangkap.
Filipina dikenakan tekanan oleh PBB untuk menyiasat dakwaan pembunuhan sistemik suspek dadah, dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa baru-baru ini mengumumkan akan menyiasat kempen berdarah Duterte itu.
Disoal Reuters sama ada Filipina akan memperluaskan siasatannya terhadap perang dadah, Setiausaha Keadilan Menardo Guevarra berkata: “Jika ada masa dan sumber, DOK akan turut menyemak ribuan kes lain.”
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB Michelle Bachelet bulan ini menggesa Filipina mengumumkan dapatannya berhubung 52 kes itu supaya dapat dibuat penilaian.
Dalam beberapa kes disiasat DOJ, mereka yang dibunuh tiada kesan serbuk letupan pada tangan mereka, malah ada yang langsung tidak mempunyai pistol, kata jabatan itu hari ini.
Katanya, polis juga menggunakan kekerasan berlebihan, menembak suspek pada jarak dekat, manakala rekod perubatan dan polis yang relevan didapati hilang.
Kes itu akan terus disiasat untuk memungkinkan pertuduhan jenayah dibawa terhadap anggota polis terlibat, katanya.
Secara rasmi, polis telah membunuh lebih 6,000 orang dalam perang dadah itu.
Bagaimanapun, aktivis berkata ribuan lagi orang dibunuh oleh kumpulan bersenjata misteri. Polis menafikan pembabitan dalam kematian berkenaan.