‘Squid Game’ bukti masyarakat Korea Selatan ‘buruk’, kata Korea Utara

‘Squid Game’ bukti masyarakat Korea Selatan ‘buruk’, kata Korea Utara

Laman web propaganda mendakwa rancangan popular itu mendedahkan realiti budaya kapitalis Korea Selatan “di mana rasuah dan individu tidak bermoral adalah biasa.”

Filem Squid Game memaparkan peserta yang mempunyai masalah kewangan memasuki pertandingan sehingga sanggup membunuh demi kemenangan. (Gambar Netflix)
SEOUL:
Laman web propaganda Korea Utara pada Selasa berkata rancangan bersiri Netflix, “Squid Game” yang kini meraih populariti di seluruh dunia, mendedahkan realiti budaya kapitalis Korea Selatan “di mana rasuah dan individu tidak bermoral adalah sesuatu yang biasa.”

Laman web Arirang Meari Korea Utara memetik kritik filem Korea Selatan yang tidak dinamakan berkata, rancangan bersiri itu memaparkan “masyarakat tidak sama rata, apabila orang yang tidak berwang dilayan seperti buah catur untuk golongan kaya.”

Siri drama ‘thriller’ sembilan episod dihasilkan Korea Selatan itu memaparkan peserta yang mempunyai masalah kewangan memasuki pertandingan berdarah berasaskan permainan kanak-kanak demi memenangi 45.6 bilion won (RM157 juta), mendapat sambutan di seluruh dunia apabila disiarkan di Netflix mulai September.

“(Rancangan itu) membuatkan orang ramai menyedari realiti menyedihkan masyarakat Korea Selatan, di mana manusia sanggup memasuki pertandingan ekstrem seterusnya nilai kemanusiaan terhapus,” kata artikel itu.

Korea Utara mengenakan hukuman denda atau penjara tinggi untuk sesiapa yang ditangkap menikmati hiburan atau meniru cara bercakap Korea Selatan, dalam pada pemimpinnya Kim Jong-un meningkatkan perang terhadap pengaruh luar serta menggesa hiburan tempatan yang lebih baik.

Undang-undang baharu mengekang “pemikiran reaksonis” telah diluluskan tahun lalu yang memperuntukkan hukuman 15 tahun dalam kem penjara bagi mereka yang ditangkap dengan bahan media dari Korea Selatan, menurut laman web Daily NK. Laman web itu berpangkalan di Seoul dan membuat laporan berdasarkan maklumat sumber di Korea Utara.

Budaya Korea Selatan kerap dikecam Korea Utara. Pada Mac, Arirang Meari berkata bintang K-pop dilayan seperti “hamba” oleh syarikat besar dan menjalani “kehidupan menyedihkan” di Korea Selatan.

Pada Februari 2020, akhbar pro-Korea Utara di Jepun memuji filem “Parasite” keluaran Korea Selatan kerana “jelas mendedahkan realiti” jurang antara golongan miskin dan kaya di negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.