China kecam ‘niat jahat’ kapal UK di Selat Taiwan

China kecam ‘niat jahat’ kapal UK di Selat Taiwan

Kapal itu dikerahkan ke Laut China Timur ketika mengambil bahagian dalam operasi penguatkuasaan sekatan terhadap Korea Utara oleh PBB.

Kapal perang US melalui Selat Taiwan hampir setiap bulan walaupun dibantah China. (Gambar AFP)
BEIJING:
China mengecam Britain hari ini kerana kapal perangnya yang melayari Selat Taiwan dengan mendakwanya perbuatan yang “menyimpan niat jahat”.

Tentera China turut dilaporkan mengekori kapal itu dan memberi amaran.

Menurut hantaran dikongsikan di akaun Twitter kapal itu, HMS Richmond melalui selat berkenaan dalam pelayaran ke Vietnam.

“Perlakuan seperti ini menyimpan niat jahat dan menggugat kestabilan dan keamanan di Selat Taiwan,” katanya.

Kapal itu telah dikerahkan ke Laut China Timur ketika mengambil bahagian dalam operasi penguatkuasaan sekatan terhadap Korea Utara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

China mendakwa Taiwan wilayahnya dan telah meningkatkan tekanan tentera serta politik dalam usaha memaksa pulau itu menerima kedaulatan Beijing.

Kapal perang AS melalui selat itu hampir setiap bulan walaupun dibantah China, namun sekutunya setakat ini tidak turut berbuat demikian.

Hubungan antara Beijing dan London sedia tegang akibat pelbagai isu termasuk melibatkan perdagangan dan hak asasi manusia.

Sementara itu, di Taiwan, Menteri Pertahanannya Chiu Kuo Cheng tidak mengulas ketika disoal mengenai kapal perang Britain itu selain menambah tidak tahu misi kapal asing di selat berkenaan.

“Apabila mereka melalui Selat Taiwan, tentera kita akan mengetahuinya tetapi tidak mencampurinya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.