
New Zealand mampu menghapuskan Covid-19 tahun lalu dan sebahagian besarnya bebas virus itu, dengan hanya jumlah kecil kes pada Februari lalu, sehingga penularan terbaharu varian Delta berlaku bulan lalu, yang memaksa Perdana Menterinya, Jacinda Ardern melaksanakan sekatan pergerakan di seluruh negara.
Bandar terbesarnya, Auckland masih dalam “lockdown” dengan sedikit kes baharu dilaporkan setiap hari.
“Kita mungkin tidak dapat kembali kepada sifar, tetapi yang penting ialah kita terus mencari jangkitan dan pada dasarnya meneruskan pengesanan kontak, ujian dan mengasingkan individu supaya kita dapat menghentikan penularan virus dalam komuniti…itu matlamatnya,” kata Ashley Bloomfield, Ketua Pengarah Kesihatan kepada Radio New Zealand.
Bloomfield berkata, matlamat sekarang ialah cuba mengatasi penularan itu dan meningkatkan kadar vaksinasi.
“Meningkatkan kadar vaksinasi lebih 90%…itu sama sekali cara baharu untuk kita kembali kepada kebebasan yang kita miliki dahulu.”
Sekatan pergerakan ketat yang dilaksanakan Ardern dan penutupan sempadan antarabangsa sejak Mac 2020 membantu membendung Covid-19, tetapi kerajaan kini berdepan persoalan mengenai penangguhan vaksinasi.
Selepas permulaan vaksinasi ditunda, New Zealand meningkatkan imunisasi dengan hampir 40% daripada 5.1 juta populasi di negara itu kini lengkap divaksin.
Pihak berkuasa melaporkan 23 kes baharu Covid-19 hari ini, semuanya di Auckland, menjadikan keseluruhan jangkitan kini meningkat kepada 1,080 kes.
Dalam sidang media harian Covid-19, Menteri Respons Covid-19, Chris Hipkins bagaimanapun berkata, kerajaan tidak berputus asa untuk mencapai kes sifar.
“Kita tidak akan berputus asa untuk kembali kepada sifar. Itulah yang kita perjuangkan.”