
Ini susulan kejayaan negara ini menangani cetusan jangkitan varian Delta.
Kebanyakan kawasan di New Zealand telah bebas daripada virus berkenaan, tidak termasuk kluster kecil kes pada Februari, sehinggalah seorang pengembara dari Australia mencetuskan jangkitan dan mendorong Ardern mengenakan “lockdown” di seluruh negara minggu lalu.
“Kita hampir dapat melupuskan (varian Delta), namun kita tidak boleh leka,” kata Ardern pada sidang media yang disiarkan di televisyen.
“Saban hari, kita dapat capai kemajuan yang baik. Apa yang saya tidak mahu adalah (kita) bergerak terlalu pantas, dan lihat kemunculan kembali (varian).”
Kira-kira 1.7 juta penduduk Auckland, iaitu pusat cetusan jangkitan, akan terus berada bawah “lockdown” tahap empat sehingga sekurang-kurangnya 14 Sept.
Penurunan kepada tahap dua daripada tahap tiga bagi kawasan-kawasan lain di seluruh negara akan membolehkan sekolah, pejabat dan perniagaan dibuka semula. Perjalanan antara wilayah akan turut dibenarkan.
Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di kebanyakan tempat awam, termasuk kedai dan pusat beli-belah. Kehadiran di lokasi hospitaliti tertutup dihadkan kepada 50 orang, manakala sehingga 100 orang dibenarkan bagi lokasi terbuka.
Bilangan kes harian baharu dalam cetusan jangkitan terkini turun daripada kemuncaknya sebanyak 85 kes pada 29 Ogos kepada 20 kes hari ini.
Cetusan jangkitan ini merekodkan 821 daripada keseluruhan 3,400 kes Covid-19 di negara ini sejak bermulanya wabak. Sebanyak 27 kematian dilaporkan.
Kira-kira 30% daripada 5.1 juta penduduk negara ini telah lengkap vaksinasi, antara kadar terendah di negara-negara kaya dalam kumpulan OECD.