Kematian akibat Covid-19 dunia melepasi 4.5j

Kematian akibat Covid-19 dunia melepasi 4.5j

Virus itu telah membunuh 4,500,620 orang sejak wabak bermula di China pada Disember 2019.

Seorang pekerja dilihat di Tanah Perkuburan Srengseng Sawah, Jakarta, pada Januari. (Gambar AP)
PARIS:
Jumlah kematian di dunia akibat Covid-19 melepasi angka 4.5 juta, menurut kiraan AFP pada Isnin dalam pada varian Delta terus mengakibatkan huru-hara secara global.

Sejak wabak bermula di China pada Disember 2019, virus itu telah membunuh 4,500,620 orang, menurut kiraan berdasarkan sumber rasmi.

Kira-kira 10,000 kematian dilaporkan setiap hari di dunia. Jumlah itu berkurangan berbanding pada Januari ketika purata 14,800 orang maut setiap hari.

Namun ia tetap lebih tinggi berbanding awal Julai, apabila hanya 7,800 kematian direkodkan.

Dengan purata 1,290 kematian sehari sejak seminggu lalu, AS sekali lagi menjadi negara dengan bilangan kematian baharu tertinggi di dunia.

Pada Januari negara itu mencatatkan 3,380 kematian sehari yang kemudian jatuh kepada hanya 200 pada awal musim panas.

Bagaimanapun, ia kini berdepan gelombang baharu varian Delta yang telah merebak ke kebanyakan negara di seluruh dunia sejak dikenal pasti di India pada April.

Wabak itu telah meragut lebih banyak nyawa tahun ini berbanding pada 2020, dengan lebih 2.6 juta kematian rasmi dilaporkan sejak Januari – perbezaan ketara dibandingkan dengan tidak sampai 1.9 juta untuk keseluruhan tahun lalu.

Negara-negara dunia berharap vaksin akan mengurangkan penularan virus, namun wujud perbezaan ketara antara negara miskin dan kaya.

Hanya tujuh dos disuntik bagi setiap 100 orang di Afrika, berbanding 99 di Eropah dan 111 di AS.

Vaksin itu juga dilihat kurang berkesan terhadap varian Delta.

Menurut kajian diterbitkan pihak berkuasa kesihatan AS minggu lalu, keberkesanan Pfizer/BioNTech dan Moderna menurun daripada 91% kepada 66% sejak strain itu menjadi dominan di AS.

Bagaimanapun, vaksin itu masih dilihat berkesan menghalang pesakit mengalami gejala serius.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.