2 melecur dalam serangan asid di stesen kereta api bawah tanah Tokyo

2 melecur dalam serangan asid di stesen kereta api bawah tanah Tokyo

Serangan itu berlaku di stesen Shirokane Takanawa di Tokyo malam tadi.

Orang ramai mengambil gambar pertunjukan bunga api ketika upacara perasmian Paralimpik di Tokyo malam tadi. (Gambar AP)
TOKYO:
Dua mangsa melecur dalam serangan asid di sebuah stesen kereta api bawah tanah Tokyo, dengan pelakunya masih bebas, kata polis hari ini.

Serangan itu berlaku di stesen Shirokane Takanawa di kawasan kelas atasan di Tokyo malam tadi, ketika upacara perasmian temasya Paralimpik berlangsung di bawah kawalan keselamatan ketat di ibu negara Jepun itu.

Jurucakap polis memberitahu AFP, ahli perniagaan berusia 22 tahun yang merupakan seorang daripada mangsa itu, melecur di bahagian muka selepas suspek menyembur cecair ke arahnya di eskalator.

Stesen penyiar awam NHK melaporkan lelaki itu cedera parah akibat semburan cecair itu yang dikenali sebagai asid sulfurik.

Seorang wanita berusia 34 tahun turut terjatuh dan dilaporkan melecur sedikit di kakinya.

Suspek dalam usia pertengahan itu masih bebas, kata polis yang meronda kawasan terbabit untuk mengesannya.

Jenayah ganas agak jarang berlaku di Jepun, yang melaksanakan undang-undang ketat senjata api, walaupun kadangkala terdapat serangan membabitkan senjata lain.

Ketika temasya Olimpik berlangsung pada awal bulan ini, 10 cedera – seorang daripadanya serius – dalam satu kejadian tikaman di kereta api komuter Tokyo.

Suspek yang melarikan diri dari tempat kejadian, kemudiannya menyerah diri.

Media Jepun melaporkan kira-kira 60,000 anggota polis dikerahkan untuk temasya Olimpik dan Paralimpik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.