Britain, US ikrar kerjasama mengenai isu Afghanistan

Britain, US ikrar kerjasama mengenai isu Afghanistan

Boris Johnson dan Joe Biden bertekad untuk terus bekerjasama erat bagi memastikan lebih ramai lagi dapat dibawa keluar dari negara itu.

PM Britain Boris Johnson dan Presiden AS Joe Biden sepakat mengenai perlunya masyarakat global bersatu untuk mencegah berlakunya krisis kemanusiaan di Afghanistan.
LONDON:
Perdana Menteri Britain Boris Johnson dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam berbincang mengenai keadaan semasa di Afghanistan susulan pengambilalihan Taliban, menurut kenyataan Downing Street.

Menerusi perbualan telefon, kedua-dua pemimpin itu menyambut baik kerjasama kedua-dua negara sejak beberapa hari kebelakangan ini untuk membantu membawa pulang rakyat, kakitangan dan bekas pekerja dari Afghanistan.

“Kedua-dua pemimpin bertekad untuk terus bekerjasama erat bagi memastikan lebih ramai lagi dapat dibawa keluar dari negara itu,” menurut kenyataan itu.

Johnson dan Biden juga sepakat mengenai perlunya masyarakat global bersatu untuk mencegah berlakunya krisis kemanusiaan di Afghanistan, lapor Xinhua.

Britain merancang untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke rantau itu dan penempatan semula pelarian.

Pejabat Dalam Negeri Britain semalam berkata, sehingga 20,000 pelarian Afghanistan akan ditawarkan tinggal di Britain selama lima tahun.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) secara maya dalam masa terdekat untuk membincangkan keadaan di Afghanistan.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada Isnin, Biden tetap dengan keputusannya untuk menarik balik tentera AS dari Afghanistan dan tidak menyangka Kabul jatuh ke tangan Taliban lebih cepat daripada yang dijangkakan Washington.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.