AS beri amaran Perhimpunan Agung PBB boleh jadi ‘super-spreader’ Covid

AS beri amaran Perhimpunan Agung PBB boleh jadi ‘super-spreader’ Covid

Ini kerana kadar vaksinasi global berbeza dan penularan varian Covid-19 mencetuskan kebimbangan.

Penghadang besi diletakkan di luar Ibu Pejabat PBB di New York yang ditutup pada September 2020. (Gambar AP)

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Amerika Syarikat menggesa pemimpin dunia menghantar video berbanding pergi ke New York bulan depan untuk menghadiri perhimpunan tahunan peringkat tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana ia dapat membantu mengelakkannya “menjadi acara super-spreader” ketika pandemik Covid-19.

Mesyuarat pemimpin dunia untuk Perhimpunan Agung PBB ke-76 mulai 21 Sept ini, akan menjadi acara hibrid ucapan dengan kehadiran secara fizikal dan pernyataan video kerana kadar vaksinasi global berlainan serta penularan varian Covid-19 mencetuskan kebimbangan.

“Kami memerlukan bantuan anda untuk mencegah Minggu Peringkat Tertinggi UNGA 76 daripada menjadi acara ‘super-spreader’,” tulis Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield, dalam surat bertarikh 13 Ogos lalu kepada rakan sejawatannya di badan dunia dengan 193 anggota.

“Ketua delegasi perlu mempertimbangkan untuk menyampaikan kenyataan mereka di Perbahasan Umum Perhimpunan Agung PBB melalui video. Jika delegasi memilih untuk ke New York…kami meminta delegasi membawa jumlah minimum individu yang diperlukan.”

AS turut menggesa semua mesyuarat dan sebarang acara sampingan anjuran PBB diadakan secara maya sepenuhnya.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sedang merancang acara berperingkat tinggi ketika perhimpunan selama seminggu mengenai perubahan iklim, peralihan tenaga dan sistem makanan, kata diplomat.

Perhimpunan tahun lalu dianggap sambutan ulang tahun ke-75 badan dunia itu, tetapi pemimpin sebaliknya menghantar video pra rakam atau meminta duta PBB mereka yang berpusat di New York untuk menyampaikan ucapan akibat Covid-19.

Semalam, Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, PBB sedang membincangkan acara tahun ini dengan AS dan “keadaan menjadi lebih jelas” setiap hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.