
United Airlines, British Airways dan Virgin Atlantic berkata, mereka tidak menggunakan ruang udara negara itu.
Jurucakap United Airlines berkata, perubahan itu menjejaskan beberapa penerbangan AS ke India.
Laman web mengesan penerbangan, FlightRadar24 menunjukkan hanya sedikit penerbangan komersial terbang ke Afghanistan hari ini, tetapi banyak pesawat melintasi negara jiran Pakistan dan Iran.
Syarikat penerbangan dan kerajaan memberi lebih banyak tumpuan terhadap risiko terbang di zon konflik dalam beberapa tahun ini selepas dua insiden maut membabitkan roket darat ke udara.
Sebuah pesawat Malaysia Airlines ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014, mengorbankan semua 298 kru dan penumpangnya, manakala sebuah pesawat Ukraine International Airlines ditembak jatuh tentera Iran tahun lalu, meragut nyawa semua 176 kru serta penumpangnya.
Bulan lalu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) melaksanakan sekatan penerbangan baharu ke Afghanistan untuk syarikat penerbangan dan pengendali AS yang lain.
FAA berkata, penerbangan yang terbang di bawah 26,000 kaki dilarang di Wilayah Maklumat Penerbangan Kabul, yang sebahagian besarnya meliputi Afghanistan, kecuali ia terbang ke atau dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, dengan alasan risiko “akibat kegiatan ekstremis/militan”.
Sekatan itu tidak tertakluk kepada operasi ketenteraan AS.
Negara lain, termasuk Kanada, Britain, Jerman dan Perancis turut menasihatkan syarikat penerbangan kekal pada ketinggian sekurang-kurangnya 25,000 kaki di ruang udara Afghanistan, menurut laman web Safe Airspace, yang mengesan amaran sedemikian.
Korean Air berkata, beberapa pesawat kargonya masih menggunakan ruang udara Afghanistan, tetapi pesawat penumpangnya tidak berbuat demikian.
“Disebabkan keadaan di Afghanistan, kami menerbangkan pesawat kargo kami di ketinggian lebih tinggi dan mengelakkan terbang di ketinggian rendah. Kami terus memantau keadaan itu dan bercadang mengkaji semula perubahan laluan kami jika perlu,” kata jurucakap Korean Air.
China Airlines berkata, ia sedang memantau situasi itu dan akan mengubah laluan penerbangan jika perlu, sejajar arahan ruang udara AS dan Kesatuan Eropah, tetapi ia tidak memberikan penjelasan lanjut.
Pesawat komersial yang dijadualkan mendarat di Afghanistan turut terjejas akibat kacau-bilau itu. Emirates menggantung penerbangan ke ibu negara Afghanistan, Kabul, sehingga notis lanjut, umum syarikat penerbangan itu di laman webnya.