
Media kerajaan menyifatkan penularan semasa itu – yang menyebabkan sekatan pergerakan setempat, ujian besar-besaran dan sekatan perjalanan – paling teruk sejak virus itu muncul di bandar Wuhan.
Pihak berkuasa berjaya melandaikan penularan tempatan sehingga sifar dan membenarkan aktiviti ekonomi dibuka semula, walaupun sekatan sempadan ketat masih dilaksanakan.
Tetapi, kes kini semakin meningkat.
Hari ini, pihak berkuasa kesihatan China melaporkan 143 kes baharu – 108 daripadanya ialah penularan tempatan.
Puluhan kes dikesan berasal dari sebuah lokasi ujian saringan Covid-19 di bandar Yangzhou, timur China.
Susulan itu, beberapa pegawai diberikan amaran kerana silap mengendalikan ujian saringan besar-besaran itu, yang menurut pihak berkuasa bandar itu, membolehkan virus itu merebak.
Pihak berkuasa bandar Yangzhou berkata “sebilangan kecil ahli dan kader parti tidak menjalankan tugas mereka dengan baik”.
Lonjakan terbaharu itu bermula selepas jangkitan dalam kalangan pembersih lapangan terbang di bandar Nanjing mencetuskan rantaian kes di seluruh China.
Jumlah kes hari ini adalah yang tertinggi sejak Januari lalu, apabila China mencatatkan 144 kes baharu dan 126 kes penularan tempatan, kebanyakannya di wilayah utara.
Pihak berkuasa sedang berusaha untuk meningkatkan keyakinan yang lonjakan terbaharu itu dapat dikawal.
“Kami berjaya membendung wabak di Guangzhou dan wabak di Nanjing dapat dikawal secara beransur-ansur,” lapor agensi berita Xinhua memetik pakar penyakit berjangkit, Zhang Wenhong.