
Anthony Wong Yiu Ming, penyanyi Cantopop tempatan dan salah seorang aktivis LGTBQ paling terkenal di bandar itu, ditahan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC).
ICAC berkata, mereka mendakwa Wong dan bekas penggubal undang-undang, Au Nok Hin terbabit dalam rasuah dengan menyediakan “hiburan untuk mendorong orang lain mengundi calon itu” dalam satu himpunan yang dianjurkan Au pada 3 Mac 2018 sempena pilihan raya badan perundangan tempatan.
Tangkapan itu menyusul serbuan meluas oleh pihak berkuasa Hong Kong terhadap penentang disebabkan protes prodemokrasi besar-besaran dua tahun lalu.
“Dalam himpunan itu, Wong menyanyikan dua lagu di pentas. Di akhir persembahannya, beliau merayu peserta himpunan itu mengundi Au dalam pilihan raya,” kata ICAC.
Jika sabit kesalahan, Wong boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum HK$200,000.
Wong dan Au akan hadir di mahkamah pada Khamis untuk rayuan.
ICAC mula mengambil peranan lebih proaktif dalam melakukan pendakwaan terhadap penentang prodemokrasi di Hong Kong.
Minggu lalu, mereka mengumumkan pendakwaan terhadap penentang Benny Tai yang dipenjarakan serta dua individu lain atas pertuduhan rasuah berkaitan iklan prodemokrasi disiarkan dalam akhbar lima tahun lalu.
Wong, 59, antara sebahagian selebriti Hong Kong yang bersedia mengkritik Beijing dan menyokong demokrasi – pendirian yang bermakna beliau disenaraihitamkan oleh China.
Wong menjadi terkenal pada 1980-an dan antara selebriti tempatan pertama mengakui status LGBTQ beliau secara terbuka pada 2012.
Au, 34, antara berpuluh-puluh tokoh prodemokrasi ditahan di bawah undang-undang keselamatan, yang dilaksanakan Beijing di Hong Kong tahun lalu untuk menghapuskan penentang.
Kebanyakan aktiviti demokrasi terkenal di Hong Kong, termasuk beberapa pejuang LGTBQ terkenal sudah ditahan, hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya atau melarikan diri ke luar negara.