
Bagaimanapun, Riyadh tidak mengumumkan penarikan balik sekatan untuk ibadah umrah, yang biasanya menarik berjuta umat Islam dari seluruh dunia setiap tahun.
“Kementerian Pelancongan mengumumkan negara itu akan membuka pintunya kepada pelancong asing dan menarik balik penggantungan kemasukan untuk pemegang visa pelancong mulai 1 Ogos,” lapor Saudi Press Agency.
Katanya, pelancong yang divaksin sepenuhnya dengan vaksin diluluskan Saudi – Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson & Johnson – boleh memasuki negara itu “tanpa perlu menjalani kuarantin”, dengan syarat mereka mempunyai bukti ujian RT-PCR negatif yang diambil dalam 72 jam dan mendaftarkan butiran mereka dengan pihak berkuasa kesihatan.
Riyadh menghabiskan berbilion untuk membina industri pelancongannya sebagai sebahagian usaha mempelbagaikan ekonominya yang bergantung kepada minyak.
Negara itu mula mengeluarkan visa pelancong buat julung kali pada 2019, sebahagian usaha untuk memperbaharui imej globalnya dan menarik kemasukan pelancong.
Dari September 2019 hingga Mac 2020, ia mengeluarkan 400,000 visa pelancong, tetapi pandemik merosakkan momentum itu susulan penutupan sempadan.
Covid-19 turut menjejaskan ibadah haji dan umrah, yang biasanya menjadi punca pendapatan utama Riyadh – kebiasaannya mereka boleh meraih kira-kira ASD12 bilion setiap tahun.
Buat masa ini, hanya jemaah tinggal di Saudi yang sudah divaksin layak mendapat permit umrah.
Kerajaan mempercepatkan kempen vaksinasi di seluruh negara dalam usaha menghidupkan semula industri pelancongan dan untuk menganjurkan acara sukan serta hiburan, yang terjejas akibat pandemik.
Setakat ini, 26 juta dos sudah diberikan dan kerajaan mengumumkan mulai 1 Ogos ini, vaksinasi adalah wajib untuk memasuki bangunan kerajaan dan swasta, termasuk institusi pendidikan, pusat hiburan serta menggunakan pengangkutan awam.
Saudi mencatatkan lebih 523,000 kes Covid-19 dan 8,213 kematian.