
“Menakutkan dengan satu lagi kehilangan nyawa menyayatkan di persisiran Libya,” kata ketua misi IOM Libya, dalam ciapan di Twitter. “Sekurang-kurangnya 57 lemas hari ini dalam tragedi terbaharu…sikap mendiamkan diri dan enggan bertindak tidak dapat diterima.”
Kapal berkenaan karam di pelabuhan Libya di Khoms, kira-kira 120 kilometer timur ibu negara, Tripoli, kata IOM lagi.
Libya berperanan menjadi pintu utama migran yang menuju ke Eropah.
Tidak dapat dipastikan punca sebenar kapal berkenaan karam, namun kebiasaannya kapal yang berlayar keluar dari pesisir Afrika Utara membawa lebih muatan, selain belayar pada waktu malam meskipun dalam cuaca buruk bagi mengelak dikesan pihak berkuasa kawalan pantai.
“Mangsa terselamat yang memberitahu kakitangannya, berkata seramai 20 wanita dan dua kanak-kanak antara mereka kehilangan nyawa,” kata IOM, sambil menambah tragedi terbaharu “memaparkan keperluan segera” untuk “pihak berkuasa negara melaksanakan operasi mencari dan menyelamat” di laluan berbahaya itu.
Pihak berkuasa pesisir pantai Libya menyelamat sejumlah 13,000 orang bagi tempoh separuh pertama tahun ini, melebihi angka sepanjang 2020, menurut Pesuruhjaya Tinggi untuk Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).
Awal bulan ini, IOM berkata, jumlah orang yang maut dalam cubaan merentas Mediterranean adalah hampir dua kali ganda lebih tinggi dalam separuh pertama 2021, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kesatuan Eropah bagi tempoh beberapa tahun ini memberi sokongan kepada pihak berkuasa Libya bagi menyekat imigrasi, walaupun keadaan di pusat tahanan di Libya, cukup menyedihkan.
Agensi antarabangsa berulang kali mengecam tindakan memintas migran di laut bagi mengarahkan mereka kembali semula ke Libya.
Libya, sebuah negara kaya minyak, terjejas teruk akibat konflik selepas kejatuhan dan pembunuhan diktator negara berkenaan, Muammar Gaddafi, pada 2011.
Namun, pada Oktober lalu, pihak bertelagah menandatangani gencatan senjata, bagi membuka laluan kepada transisi kerajaan, diketuai PBB.