Banduan lepaskan 2 pengawal penjara Sweden 9 jam selepas tuntutan piza dipenuhi

Banduan lepaskan 2 pengawal penjara Sweden 9 jam selepas tuntutan piza dipenuhi

Polis berkata, dua banduan itu kemudiannya dibawa ke balai polis untuk disoal siasat kerana 'menculik'.

Dua banduan yang meringkuk di Penjara Hallby itu mengemukakan dua tuntutan, iaitu sebuah helikopter untuk melarikan diri dan 20 piza dihantar kepada banduan lain. (Gambar Reuters)
STOCKHOLM:
Dua banduan membebaskan dua pengawal penjara Sweden yang dijadikan tebusan selama sembilan jam pada Rabu, selepas mendapat piza yang dituntut mereka.

Jurucakap penjara itu, Stina Lyles berkata, kedua-dua pengawal itu tidak cedera dan selamat pulang ke pangkuan keluarga mereka.

Pegawai penjara, Torkel Omnell berkata, dua banduan itu yang meringkuk di Penjara Hallby berkawalan ketat, dekat bandar Eskilstuna, atas kesalahan membunuh, berjaya memasuki kawasan yang dikhaskan untuk pengawal kira-kira 12.30 tengah hari.

Mereka kemudiannya menjadikan dua pengawal yang berada di kawasan khas itu sebagai tebusan.

“Kami segera menghantar orang tengah,” kata Omnell sambil menambah mereka turut menghubungi polis.

Menurut laporan media Sweden, dua banduan itu mengemukakan dua tuntutan, iaitu sebuah helikopter untuk melarikan diri dan 20 piza dihantar kepada banduan lain.

“Ya, piza itu dihantar,” kata Lyles.

Polis berkata, dua banduan itu kemudiannya dibawa ke balai polis untuk disoal siasat kerana “menculik”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.