Bekas pegawai Goldman berkait skandal 1MDB berjaya mohon monitor kaki lebih kecil

Bekas pegawai Goldman berkait skandal 1MDB berjaya mohon monitor kaki lebih kecil

Ini bagi memudahkan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs itu berjoging dengan lebih selesa, kata peguamnya.

Pada Mei 2019, Roger Ng diekstradisi dari Malaysia ke AS, di mana dia dibebaskan dengan bon USD20 juta dan diarahkan memakai monitor pergelangan kaki. (Gambar Reuters)
NEW YORK:
Seorang bekas pegawai bank Goldman Sachs yang berdepan dakwaan berkait skandal 1MDB mendapat kebenaran hakim di Brooklyn untuk mengganti monitor pergelangan kakinya dengan peranti yang lebih kecil supaya dia dapat berjoging dengan lebih selesa.

Pendakwa raya persekutuan membantah permohonan ini, dengan berhujah, ini akan meningkatkan risiko Roger Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs di Malaysia, melarikan diri.

Peguam Ng berkata, sifat peranti pemantauan berkenaan, yang memaklumkan lokasi Ng kepada pihak berkuasa menggunakan GPS, “rumit dan berat” dan ia menjadikan Ng tidak selesa untuk berjoging, aktiviti senaman yang digemarinya.

Hakim Daerah Amerika Syarikat Margo Brodie membuat keputusan bahawa permintaan untuk menukar kepada peranti lebih kecil, yang hanya memaklumkan pihak berkuasa apabila Ng keluar dan kembali ke rumah, adalah wajar memandangkan Ng telah mematuhi syarat tempoh percubaannya sejak dua tahun lalu.

Ng berada bawah tempoh percubaan sementara menunggu perbicaraan di mahkamah persekutuan Brooklyn di mana dia dituduh bersubahat melanggar undang-undang antirasuah dan mengubah wang. Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan-tuduhan ini Disember lalu.

Goldman Sachs membantu menjual bon USD6.5 bilion untuk 1MDB, yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri Najib Razak lebih sedekad lalu untuk mendorong pembangunan ekonomi.

Pihak berkuasa AS dan Malaysia berkata, pegawai-pegawai dana berkenaan dan rakan sekongkolnya membelanjakan wang berkenaan bagi tujuan kemewahan dan membiayai pembikinan filem-filem Hollywood, sementara pegawai-pegawai bank Goldman memberi sogokan lebih USD1.6 bilion kepada anggota pihak berkuasa di Malaysia dan Abu Dhabi bagi tujuan urusan 1MDB.

Seorang lagi bekas pegawai bank Goldman, Tim Leissner, mengaku bersalah pada 2018 atas peranannya dalam skandal berkenaan, namun masih belum dijatuhkan hukuman.

Pada Mei 2019, Ng diekstradisi dari Malaysia ke AS, di mana dia dibebaskan dengan bon USD20 juta dan diarahkan memakai monitor pergelangan kaki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.