
MEKAH: Masjidil Haram semalam, bersamaan tarikh 8 Zulhijjah yang juga dikenali sebagai hari Tarwiyah, terus menerima ketibaan jemaah di tengah-tengah pelaksanaan sistem perkhidmatan bersepadu dan langkah keselamatan demi memastikan jemaah dapat melaksanakan ibadah dengan lancar serta selesa.
Pihak pengurusan dua masjid suci telah menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi jemaah, termasuk melakukan operasi pembasmian kuman di dalam Masjidil Haram dan pekarangannya, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Selain itu, pihak pengurusan turut menerima kumpulan yang tiba dari tiga pusat yang menghimpunkan jemaah haji selain menyelaraskan kepulangan mereka sebaik selesai melakukan tawaf.
Pihak pengurusan turut mengedarkan botol air ZamZam dan menyediakan terjemahan dalam 10 bahasa untuk kemudahan jemaah.