4 perisik Iran didakwa rancang culik pengkritik di AS

4 perisik Iran didakwa rancang culik pengkritik di AS

Pendakwa raya berkata, empat perisik Iran itu mengupah penyiasat peribadi atas alasan palsu bagi mengawasi Masih Alinejad, memasang video mengintip keluarga dan rumahnya sebagai sebahagian rancangan untuk menculiknya.

Orang ramai menghadiri bantahan ‘Free Iran World Summit 2021’ di Berlin Sabtu lalu. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Pendakwa raya Amerika Syarikat mendakwa empat warga Iran atas pertuduhan menjadi perisik Tehran, dengan rancangan menculik seorang wartawan New York dan aktivis hak asasi manusia yang mengkritik Iran, menurut pendakwaan Jabatan Kehakiman pada Selasa.

Pihak berkuasa AS berkata, dalam beberapa tahun ini, perisik Iran memperdaya sejumlah aktivis asing ke destinasi tertentu, kemudiannya mereka diculik dan dihantar pulang ke Iran.

Walaupun pendakwaan itu tidak menamakan sasaran plot terbabit, Reuters mengesahkan beliau ialah wartawan Iran-Amerika, Masih Alinejad yang menyumbang kepada perkhidmatan bahasa Parsi dibiayai Washington, Voice of America dan laporan isu hak asasi manusia di Iran.

Ketika diminta Reuters untuk mengesahkan Alinejad ialah sasaran plot itu, Jabatan Kehakiman enggan mengulas.

Tetapi Alinejad, ketika dihubungi Reuters selepas pendakwaan itu dikeluarkan, terkejut dan berkata beliau bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sejak lapan bulan lalu dengan gambar yang diambil perancang plot itu.

Pendakwa raya berkata, empat warga Iran itu mengupah penyiasat peribadi atas alasan palsu bagi mengawasi wartawan terbabit di Brooklyn, memasang video mengintip keluarga dan rumahnya sebagai sebahagian rancangan untuk menculiknya.

Empat defendan itu merancang “memaksa mangsa mereka ke Iran, dengan nasib mangsa tidak diketahui”, kata Audrey Strauss, peguam AS untuk New York selatan.

Pendakwa raya berkata, perisik Iran itu mengupah penyiasat persendirian di Manhattan untuk mengawasi Alinejad dan keluarganya, dengan mendakwa wanita itu ialah orang hilang dari Dubai yang melarikan diri bagi mengelakkan pembayaran hutang.

Mereka berkata, perisik Iran itu mencari jalan untuk menculik wartawan itu dari New York menggunakan bot laju ke Caracas.

Iran mengarahkan operasi ke atas wartawan itu dengan “niat mengumpan warganegara kami pulang ke Iran sebagai tindakan balas terhadap kebebasan bersuara mereka,” kata Penolong Pengarah Bahagian Antirisikan FBI, Alan E Kohler Jr.

Pendakwa raya berkata, perisik Iran pada 2019 mengumpan Ruhollah Zam, wartawan yang tinggal di Perancis, keluar dari negara itu, menangkap dan kemudian menghukumnya di Iran atas tuduhan hasutan.

Perwakilan rasmi Iran ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tidak dapat dihubungi untuk mengulas.

Alinejad berkata, beliau mencetuskan kemarahan Iran dengan menyiarkan wanita di negara itu membantah undang-undang yang mewajibkan mereka berhijab serta warga Iran dibunuh dalam demonstrasi pada 2019.

Katanya, perisik Iran cuba mengumpannya ke Turki beberapa kali, dengan ugutan dan janji untuk bertemu keluarganya.

Ejen FBI memberi amaran kepada Alinejad awal tahun in yang Iran merancang untuk menculiknya, oleh itu mereka memindahkan wartawan itu serta suaminya ke beberapa rumah selamat ketika mereka menyiasat kes berkenaan.

Katanya, beliau masih keliru selepas membaca pendakwaan itu.

“Saya tidak percaya saya tidak selamat pun di Amerika.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.