Polis Brazil siasat Presiden Bolsonaro berhubung rundingan pembelian vaksin

Polis Brazil siasat Presiden Bolsonaro berhubung rundingan pembelian vaksin

Jair Bolsonaro dituduh melakukan penyelewengan dalam pembelian vaksin daripada India membabitkan USD316 juta.

Seorang penunjuk perasaan mengambil gambar ‘selfie’ semasa protes mendesak peletakan jawatan Presiden Jair Bolsonaro di Sao Paulo pada 3 Julai. (Gambar AP)
BRASILIA:
Atas permintaan Mahkamah Agung, polis persekutuan Brazil secara rasmi membuka siasatan ke atas Presiden Jair Bolsonaro dan kini dapat memanggilnya memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan pembelian vaksin daripada India, kata sumber yang mempunyai maklumat semalam.

Bolsonaro terkait dakwaan penyelewengan membabitkan kontrak bernilai USD316 juta (RM1.32 bilion) yang ditandatangani Februari lalu bagi pembelian 20 juta dos vaksin melalui orang tengah dengan pembuat vaksin, Bharat Biotech.

Jawatankuasa Senat Brazil, yang menyiasat pengurusan wabak oleh kerajaan, mendapati wujud kecurigaan berkenaan harga tinggi dan rasuah berkait kontrak terbabit.

Segelintir senator menuduh Bolsonaro tidak serta-merta menyiasat dakwaan berhubung salah laku sejurus dimaklumkan.

Selepas laporan penyelewengan itu didedahkan kepada umum, kerajaan bertindak menggantung kontrak berkenaan.

Pendakwa raya persekutuan Brazil dan pejabat ketua pengawal selia juga secara berasingan menyiasat dakwaan penyelewengan dalam rundingan pembelian vaksin itu.

Bolsonaro menafikan sebarang salah laku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.