
Kebakaran yang berlaku di wad yang mampu menempatkan 60 pesakit di Hospital Al-Hussein di bandar Nasiriyah, Iraq ini adalah kejadian kedua sepertinya dalam tempoh tiga bulan.
Lima lagi pesakit mengalami kecederaan, “termasuk dua dalam keadaan kritikal”, kata Haydar al-Zamili, jurucakap pihak berkuasa kesihatan tempatan.
“Mangsa-mangsa meninggal dunia akibat melecur, dan usaha pencarian diteruskan,” katanya, sambil menambah, dikhuatiri terdapat lagi mangsa yang terperangkap dalam bangunan.
Ramai penunjuk perasaan muda membuat protes di luar hospital selepas kebakaran berjaya dikawal, dan di media sosial, warga net menuntut tindakan dan peletakan jawatan pegawai tinggi.
Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhemi mengadakan mesyuarat tergempar dengan menteri dan ketua-ketua keselamatan untuk “mencari punca” kebakaran itu, menurut ciapan pejabatnya di Twitter awal pagi ini.
“Bencana Hospital Al-Hussein adalah bukti jelas kegagalan melindungi nyawa rakyat Iraq, dan sudah tiba masanya ini dihentikan,” kata Speaker Parlimen Iraq Mohamed al-Halbousi di Twitter.
Kementerian Dalam Negeri Iraq berkata di Facebook lewat semalam, api membakar struktur sementara yang dibina di sebelah bangunan utama, tetapi tidak memperincikan puncanya.
Seramai 16 orang telah diselamatkan daripada kebakaran terbabit, kata sumber perubatan lewat semalam.
Klip-klip video yang dikongsi dalam talian menunjukkan asap tebal dari hospital berkenaan.
Dalam sebuah kebakaran di sebuah hospital Covid-19 di Baghdad pada April yang berpunca daripada letupan tangki silinder oksigen yang tidak disimpan dengan baik, 82 orang maut, manakala 110 lagi mengalami kecederaan.
Sebilangan besar mangsa menggunakan alat bantuan pernafasan dan terbakar atau lemas dalam kebakaran yang merebak dengan cepat ke seluruh hospital, ketika saudara-mara pesakit dalam Unit Rawatan Rapi sedang melawat.