
Pandemik Covid-19 memburukkan lagi krisis sedia ada yang dicetuskan konflik dan perubahan iklim, menurut kumpulan itu.
“Sejak pandemik Covid-19 bermula, masyarakat rentan di seluruh dunia menghantar mesej yang jelas, mendesak dan berulang: ‘Kelaparan mungkin membunuh kita sebelum koronavirus’. Hari ini, kematian akibat kelaparan melebihi virus itu,” katanya dalam kenyataan.
Oxfam menganggarkan 11 orang mungkin mati akibat kelaparan akut dalam seminit berbanding tujuh orang seminit akibat Covid-19.
Kumpulan itu mengenal pasti negara termasuk Yaman, Republik Afrika Tengah, Sudan Selatan, Venezuela dan Syria, yang mana krisis makanan sedia ada diburukkan lagi oleh pandemik dan impak ekonomi.
“Pengangguran besar-besaran dan pengeluaran makanan mengalami gangguan teruk menyebabkan harga makanan dunia meningkat 40%, peningkatan terbesar dalam lebih sedekad.”
Keseluruhannya, kumpulan itu berkata, lebih setengah juta orang hidup “dalam keadaan seperti kebuluran” di seluruh dunia, manakala 155 juta orang hidup dalam “kelaparan melampau” – sama dengan gabungan populasi Perancis dan Jerman.
Daripada 155 juta itu, 2/3 hidup di negara dengan perang atau konflik berterusan.
“Konflik masih menjadi pendorong terbesar kelaparan di seluruh dunia selama tiga tahun berturut-turut, termasuk semasa pandemik,” kata kumpulan itu.
“Kita melihat tindihan krisis: konflik tidak berhenti, impak ekonomi disebabkan Covid-19 dan krisis iklim semakin meningkat,” kata Helene Botreau, pegawai pertanian dan keselamatan makanan di Oxfam Perancis.
Analisis Oxfam muncul menjelang laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang akan dikeluarkan Isnin depan.