India berjaga-jaga selepas kes Zika pertama dikesan di Kerala

India berjaga-jaga selepas kes Zika pertama dikesan di Kerala

Ibu hamil berusia 24 tahun kini dirawat untuk virus itu.

Virus itu biasanya disebarkan nyamuk Aedes, tetapi boleh juga tersebar menerusi hubungan seks.
NEW DELHI:
Pihak berkuasa di Kerala, selatan India, mengeluarkan amaran seluruh negeri selepas satu kes virus Zika disahkan, kata pihak berkuasa pada Jumaat.

Sebanyak 13 lagi kes disyaki Zika kini disiasat, kata Menteri Kesihatan Negeri Veena George.

Seorang ibu hamil berusia 24 tahun didapati dijangkiti penyakit bawaan nyamuk itu dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Thiruvananthapuram.

Wanita hamil lebih mudah dijangkiti dan boleh menjangkitkan anak di dalam kandungan mereka yang mungkin menyebabkan kecacatan seperti sindrom Guillain-Barre iaitu sejenis penyakit autoimun.

Sampel daripada 13 kes disyaki itu telah dihantar ke makmal di Pune untuk siasatan lanjut, kata menteri itu.

Zika biasanya disebarkan nyamuk Aedes tetapi boleh juga tersebar menerusi hubungan seks.

Virus itu pertama kali dikesan dalam monyet di hutan Zika di Uganda pada 1947 dan telah mengakibatkan beberapa penularan di seluruh dunia dalam beberapa dekad lalu.

Tiada vaksin atau ubat antiviral yang dapat merawat atau menghalangnya.

Antara gejalanya termasuk demam panas, ruam serta sakit otot dan sendi, namun ia jarang mengakibatkan kematian.

Menurut pegawai, wanita yang dijangkiti itu menunjukkan gejala termasuk demam panas, sakit kepala dan ruam sebelum dimasukkan ke hospital sebelum melahirkan anaknya pada Rabu.

Pasukan kesihatan telah dikerahkan ke lokasi wanita berkenaan untuk memantau kes lain.

Penularan Zika turut berlaku pada 2017 dan 2018 di India, dengan ratusan kes dilaporkan di Gujarat, Rajasthan serta Madhya Pradesh, tetapi kes terbaru ini adalah jangkitan pertama di Kerala.

Kerala juga kini bertarung dengan lonjakan jangkitan Covid-19, dengan lebih 13,000 kes direkodkan pada Jumaat iaitu yang tertinggi bagi mana-mana negeri di India.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.