Bekas pengarah Kementerian Kesihatan Brazil ditahan, didakwa tipu panel Covid

Bekas pengarah Kementerian Kesihatan Brazil ditahan, didakwa tipu panel Covid

Roberto Dias dipecat akhir bulan lalu susulan dakwaan dia meminta rasuah ASD1 bagi setiap dos daripada wakil sebuah syarikat yang merundingkan jualan 400 juta vaksin AstraZeneca kepada Brazil.

Senator Omar Aziz, yang mempengerusikan Suruhanjaya Inkuiri Parlimen, mengarahkan penahanan bekas pengarah logistik Kementerian Kesihatan, Roberto Dias atas dakwaan sumpah palsu. (Gambar AFP)
BRASILIA:
Seorang bekas pengarah Kementerian Kesihatan Brazil ditahan pada Rabu ketika memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Senat menyiasat bagaimana kerajaan Presiden Jair Bolsonaro menangani pandemik Covid-19.

Senator Omar Aziz, yang mempengerusikan Suruhanjaya Inkuiri Parlimen (ICC), mengarakan penahanan bekas pengarah logistik Kementerian Kesihatan, Roberto Dias atas dakwaan sumpah palsu.

“Dia berbohong sejak pagi ini. Saya beri peluang kepadanya (untuk beritahu kebenaran), saya tanya beberapa kali.

“Saya tidak terima ICC menjadi sandiwara. Kita mempunyai lebih 527,000 kematian daripada pandemik ini dan lelaki itu membuat perjanjian berhubung vaksin,” katanya yang kelihatan jengkel.

Ia adalah kali pertama seorang senator dalam ICC mengarahkan penahanan sejak siasatan dimulakan dua bulan lalu.

Dias dipecat akhir bulan lalu susulan dakwaan dia meminta rasuah ASD1 bagi setiap dos daripada wakil sebuah syarikat yang merundingkan jualan 400 juta vaksin AstraZeneca kepada Brazil.

Kecurigaan timbul selepas wakil syarikat itu, Luiz Dominguetti, memberi keterangan di hadapan ICC minggu lalu.

Menurut sumber Parlimen, Dias menafikan meminta sebarang rasuah dan mendakwa pertemuan dengan Dominguetti berjalan lancar, walaupun maklumat yang diperolehi senator bercanggah dengan keterangannya.

Dias turut menafikan memberi tekanan kepada seorang orang bawahannya menandatangani kontrak membeli vaksin Covaxin dari India, skandal yang mungkin membabitkan Bolsonaro.

Presiden menjadi subjek dalam siasatan awal kes ini, yang disyaki menutup mata terhadap dakwaan rasuah dilaporkan seorang pegawai Kementerian Kesihatan.

Ketika memberi keterangan di hadapan ICC, pegawai itu berkata, beliau mengalami “tekanan tidak normal” untuk meluluskan pengimportan dos Covaxin yang dianggapnya terlalu mahal.

Presiden sayap kanan itu sudah lama menganggap pandemik Covid-19 sebagai tidak serius.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.